Kerja projek pengurusan banjir LPT1 bermula 1 Oktober

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN – Pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), ANIH Berhad dijangka memulakan kerja-kerja fasa satu projek pengurusan banjir di LPT1 bermula 1 Oktober ini.

Pengurus Besar Kanan ANIH Berhad, Radzimah Mohd Radzi berkata, beberapa langkah telah diambil bagi memastikan kelancaran projek itu termasuk menjalankan kajian banjir secara terperinci dan komprehensif di sepanjang LPT1.

Menurutnya, ia bagi mengenal pasti komponen tebatan banjir yang akan dilaksanakan demi mengurangkan risiko kejadian banjir daripada berulang.

"Sebelum ini, kita telah bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan di peringkat tempatan, negeri dan persekutuan untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan termasuk menilai cabaran semasa bagi melengkapkan cadangan reka bentuk dan proses kerja projek tersebut.

"Jadi, projek ini dijangka mengambil masa dua tahun dan ia melibatkan 11 kawasan kritikal sepanjang LPT1. Ini juga sebahagian komitmen berterusan syarikat dan kerajaan bagi mempertingkatkan tahap keselesaan serta keselamatan pengguna LPT1 terutamanya di musim tengkujuh," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau menjelaskan, fasa pertama itu melibatkan jaringan di Kilometer (KM) 124 berhampiran Temerloh dan dijangka mengambil masa selama 12 bulan.

Sehubungan itu, Radzmah berkata, laluan kecemasan arah ke Kuala Lumpur di lokasi itu akan ditutup selama enam bulan bermula Oktober ini hingga April 2023 manakala laluan kecemasan arah ke Kuantan pula akan ditutup bermula Mei sehingga November 2023.

"Selain menutup laluan kecemasan, kita juga akan mengaktifkan laluan kontra di kawasan terbabit bagi memastikan impak lalu lintas berada pada tahap minimum sepanjang tempoh tersebut," jelas beliau lagi.

Artikel Berkaitan:

Radzimah memaklumkan ANIH Berhad juga telah mengaktifkan semua saluran YouTube dan ANIH TV bagi memastikan para pengguna sentiasa mendapat maklumat tepat serta terkini mengenai projek tersebut.

Pengguna dinasihatkan melayari laman sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia/ANIH Berhad di Twitter @LLMTrafik @LPTTrafik dan Facebook @Lembaga Lebuhraya Malaysia @Lebuhraya Pantai Timur atau hubungi hotline LLM di 1800-88-7752 dan LPT – Line di 1-700-818- 700 untuk informasi lanjut, tepat dan terkini.