Warga Rusia lari ke sempadan, elak berperang di Ukraine

Beberapa orang berjalan kaki di tepi barisan kenderaan di pusat pemeriksaan antara Georgia dan Rusia pada Ahad lalu. - Foto AFP
Beberapa orang berjalan kaki di tepi barisan kenderaan di pusat pemeriksaan antara Georgia dan Rusia pada Ahad lalu. - Foto AFP
A
A
A

MOSCOW - Imej satelit pada Isnin menunjukkan sebahagian rakyat Rusia yang cuba mengelak daripada menjalani kerahan tenaga untuk berperang di Ukraine cuba menyeberangi sempadan ke Georgia, Kazakhstan dan Mongolia.

Video yang diperoleh Maxar Technology yang berpangkalan di Colorado, Amerika Syarikat (AS) menunjukkan barisan panjang trak kargo dan kenderaan persendirian meninggalkan Rusia dan memasuki negara jiran Rusia.

Ia berlaku berikutan arahan memanggil anggota-anggota tentera simpanan Rusia untuk berperang di Ukraine yang diumumkan oleh Presidennya, Vladimir Putin pada minggu lalu.

Bagaimanapun, berikutan pergerakan sebahagian rakyat Rusia itu, Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Rusia (FSB) yang merupakan pengganti utama KGB ketika era Kesatuan Soviet pada Isnin mengerahkan askar-askar bersenjata lengkap dan sejumlah kenderaan pengangkut kakitangan berperisai ke persimpangan sempadan di Ossetia Utara.

Ossetia Utara terletak antara Rusia dan Georgia.

Tujuan askar-askar dan penghantaran kenderaan berperisai itu adalah untuk menghalang warga Rusia melarikan diri daripada menyertai arahan untuk berperang di Ukraine.

Moscow juga mungkin mempertimbangkan untuk memperkenalkan prosedur undang-undang bagi golongan lelaki yang wajib menyertai tentera mendapatkan visa perjalanan antarabangsa yang akan memberi mandat kepada mereka untuk mendapatkan kebenaran daripada kerajaan sebelum keluar dari negara itu.

Menurut sumber kepada laman berita Moscow, Meduza, prosedur itu kemungkinan dipertimbangkan selepas referendum sama ada penduduk di empat wilayah Ukraine iaitu Luhansk, Donetsk, Kherson dan Zaporizhzhia di Ukraine bersetuju menyertai Rusia selesai dilaksanakan. - Agensi

Artikel Berkaitan: