Bekas pegawai khas MB didakwa palsukan slip gaji

Khairul Anuar (kiri) didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Selasa atas pertuduhan memalsukan dokumen slip gaji empat tahun lalu.
Khairul Anuar (kiri) didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Selasa atas pertuduhan memalsukan dokumen slip gaji empat tahun lalu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Bekas pegawai khas kepada mantan Menteri Besar Johor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan memalsukan slip gajinya berjumlah lebih RM15,000 empat tahun lalu.

Tertuduh, Khairul Anuar Daud, 50, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memalsukan dokumen slip gaji sebuah syarikat penerbangan tempatan bagi bulan Mei 2018 atas namanya yang berjumlah RM15,820.63 dengan niat supaya dokumen palsu tersebut digunakan bagi tujuan hendak menipu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di Jabatan Pengurusan Sumber Manusia sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di sini antara 26 Jun hingga 10 Julai 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dayang Masneh Deh manakala tertuduh diwakili peguam, Hazza Khalid dan Suraya Hani Abdul Halim.

Sebelum itu, Dayang Masneh memohon agar ikat jamin dikenakan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin.

Namun, peguam tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jumlah ikat jamin sebanyak RM8,000 berikutan tiga anak tertuduh masih menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT).

Artikel Berkaitan:

Hakim kemudian memerintahkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain pasport tertuduh diserah kepada mahkamah dan perlu melapor diri di Pejabat SPRM Johor Bahru pada setiap bulan.