Empat anggota Geng Angah samun kenderaan diberkas

Anbalagan (kanan) menunjukkan kereta yang disamun kumpulan penjenayah Geng Angah di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang pada Isnin.
Anbalagan (kanan) menunjukkan kereta yang disamun kumpulan penjenayah Geng Angah di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang pada Isnin.
A
A
A

SERDANG - Polis menahan empat lelaki disyaki ahli Geng Angah yang terlibat dalam kes samun kenderaan di tepi jalan berhadapan sebuah restoran di Bandar Puchong Jaya pada 20 September lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, dalam kejadian itu, ketiga-tiga suspek yang bersenjatakan parang menaiki sebuah kereta Proton Persona warna merah.

"Suspek telah mengarahkan mangsa keluar dari kereta jenis Honda City, kemudian melarikan diri. Mangsa mengalami kerugian dianggarkan bernilai RM80,000," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di sini pada Isnin.

Anbalagan berkata, hasil maklumat dan risikan, kesemua suspek termasuk dalang berusia 27 hingga 37 tahun berjaya diberkas secara berasingan di Dang Wangi dan Petaling Jaya pada Jumaat dan Sabtu lalu.

"Hasil soal siasat, kita telah berjaya menemui pelbagai barangan disyaki hasil daripada kegiatan samun seperti lapan buah telefon bimbit pelbagai jenama, tiga buah kereta jenis Proton Persona, Honda City dan Hyundai Sonata.

"Kita turut merampas empat beg silang, komputer riba dan tab mini, seutas rantai leher dan senjata parang yang dipercayai digunakan untuk melakukan kegiatan samun," katanya.

Beliau berkata, suspek mengenakan topi dan pelitup muka dengan menggunakan kereta sewa yang bercermin gelap ketika menjalankan kegiatan terbabit.

Jelasnya, suspek turut bersenjatakan parang dan menyasarkan mangsa yang meletakkan kenderaan di kawasan parkir, sebelum melarikan kenderaan serta barang-berharga.

Artikel Berkaitan:

Anbalagan berkata, kesemua suspek didapati bergiat aktif dalam kegiatan samun kenderaan di sekitar Serdang, Kajang dan Kuala Lumpur sejak dua bulan lalu.

"Kesemua suspek baru selesai menjalani hukuman penjara dan dipercayai berkenalan ketika di dalam penjara," katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan semakan rekod turut mendapati kesemua terbabit mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

Anbalagan berkata, kejayaan tangkapan kesemua suspek, pihak polis berjaya menyelesaikan tiga kes samun dan melarikan kenderaan di kawasan Lembah Klang.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," ujarnya.