Kes culik: Jaga keluarga, ambil anak lebih awal

Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff
Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff
A
A
A

KOTA BHARU - Masyarakat diminta sentiasa peka serta menjaga keluarga masing-masing bagi memastikan keselamatan terjamin susulan kebimbangan pelbagai isu termasuk penculikan kanak-kanak.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, ibu bapa dinasihati supaya mengambil anak-anak mereka di pusat pendidikan atau sekolah lebih awal.

Beliau berkata, tindakan itu dapat memastikan keselamatan anak-anak selepas mereka keluar dari sekolah.

"Jangan biarkan anak-anak bermain bersendirian kerana kita tidak tahu ada kumpulan yang sedang merancang di luar dugaan kita.



"Semua kita mesti jaga, macam- macam kes sekarang, sebab itulah semua perlu menjaga dan memantau keluarga," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Klinik Penyelesaian Tunggakan Kes Pusaka Peringkat Negeri Kelantan pada Isnin.

Majlis yang dirasmikan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan itu turut dihadiri Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Datuk Abdullah Ya'kub; Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain dan Pengarah Tanah dan Galian, Datuk Zamri Ismail.

Sementara itu mengulas mengenai penculikan ejen kosmetik, Rosnazirah Mohd Naim, Siti Zailah berharap keluarga wanita itu bersabar dan harap kes dapat diselesaikan segera.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kes itu kerana masih dalam siasatan polis.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberi sokongan psikologi kepada keluarga mangsa.

Dalam perkembangan lain, Siti Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang memohon masyarakat mengadakan solat hajat bagi mengelakkan banjir besar di daerah itu.

"Kita doakan supaya jangan ada banjir di luar jangka walaupun semua persiapan sedang dilakukan termasuk

menyediakan 31 pusat perpindahan sementara di Pasir Mas," katanya.