Kematian Datin: Polis masih buru Mohd Faizul

Laporan Sinar Harian pada Sabtu lalu.
Laporan Sinar Harian pada Sabtu lalu.
A
A
A

SEREMBAN - Polis masih mengesan seorang lelaki yang juga suspek utama kes seorang wanita bergelar Datin yang ditemui meninggal dunia dengan kesan kecederaan pada badan di rumahnya di Taman Paroi Jaya di sini Jumaat lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Deputi Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, lelaki berkenaan dipercayai individu terakhir yang datang ke rumah mangsa.

"Berdasarkan keterangan daripada ahli keluarga mangsa, suspek berkenaan dikatakan individu terakhir yang datang ke rumah mangsa sebelum wanita berkenaan ditemui tidak sedarkan diri.

"Sehingga kini polis masih belum dapat mengesan lelaki itu kerana selepas kejadian, dia dipercayai menghilangkan diri dan telefon bimbitnya juga dimatikan," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Menurutnya, kehilangan dan kegagalan menghubungi lelaki itu sehingga kini telah menimbulkan persoalan.

Ujar beliau, motif kejadian juga masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Polis meminta individu bernama Mohd Faizul Mohamad Ali Kamil, 45, dengan alamat terakhir di Kampung Berkat Chembong, Rembau untuk tampil bagi membantu siasatan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat juga diminta untuk menyalurkannya ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban atau mana-mana balai terdekat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan seorang wanita warga emas bergelar Datin ditemukan maut dengan kesan kecederaan pada badan di rumahnya di Taman Paroi Jaya.