Lewandowski akui Xavi bantu tingkat permainan

Lewandowski
Lewandowski
A
A
A

ROBERT Lewandowski menyifatkan kehadiran bersama kelab La Liga Sepanyol, Barcelona membantu meningkat semula daya saingnya dalam skuad Poland terutama di Liga Negara-Negara UEFA.

Malah bekas pemain kelab Bundesliga Jerman, Bayern Munich berusia 34 tahun itu tanpa berselindung mengakui aura pengendali Barca, Xavi Hernandez merupakan penyuntik semangat kepadanya dan para pemain gergasi LaLiga tersebut.

“Xavi tidak hanya memainkan peranan penting dalam membina semula Barcelona, tetapi juga gaya permainan saya di Camp Nou sejak berpindah dari Bayern Munich.

"Pelbagai nasihat membina selain perkara-perkara yang perlu diperbaiki secara taktikal apabila kami melakukan kesilapan secara tidak langsung memudahkan proses pembelajaran setiap pemain.

“Anda boleh lihat sahaja komitmen dia memperbaiki pasukan sejak musim lalu. Saya sangat gembira dengan cara kami berlatih dan apa yang kami lakukan selepas latihan,” katanya yang telah menjaringkan 11 gol dalam lapan perlawanan untuk Barcelona musim ini.

Lewandowski sebelum itu membantu Poland menewaskan Wales 1-0 dalam perlawanan Piala Negara-Negara UEFA di Stadium Cardiff City.

Gol Karol Swiderski pada minit ke-57 cukup memberikan kemenangan bermakna pelawat yang sekali gus memperkukuhkan kedudukan pasukan dalam Kumpulan A.

Sementara itu, Lewandowski juga bakal mengetuai Poland pada Piala Dunia 2022 di Qatar, dengan misi melepasi peringkat kumpulan buat kali pertama sejak 1986.

Artikel Berkaitan: