Mencari halal di Beijing

Antara restoran halal yang boleh didapati di sekitar Beijing.
Antara restoran halal yang boleh didapati di sekitar Beijing.
A
A
A

APABILA melancong, bekerja mahupun menetap di negara bukan Islam, perkara utama yang bermain di fikiran seorang Muslim adalah berkaitan dengan mencari makanan halal.

Umat Islam yang berpegang teguh kepada ajarannya memang mengambil berat dengan perihal makanan kerana selain halal, aspek kebersihan juga adalah sebahagian daripada tuntutan dalam agama.

Disebabkan bimbang dengan masalah tersebut, ramai yang membawa sendiri makanan yang diyakini halal terutama apabila berkunjung ke negara bukan Islam.

Minggu ini penulis terpanggil untuk menceritakan sendiri pengalaman sepanjang berada di Beijing selepas lebih dari dua bulan menyertai Program Pusat Komunikasi Media Antarabangsa China di Beijing.

Berdasarkan kepada pemerhatian, kedai makan yang menyediakan makanan halal dan patuh syariah tidaklah terlalu sukar untuk ditemui di ibu kota ini.

Cuma, ia agak jauh dari penginapan penulis. Dalam kira-kira tiga hingga lima kilometer dari tempat tinggal.

Namun, jarak bukanlah satu penghalang sekarang ini. Pelbagai inisiatif boleh digunakan kerana di China terdapat pelbagai kemudahan yang boleh digunakan antaranya bas, subway dan tidak lupa juga basikal.

Dengan harga pengangkutan awam yang murah dan mampu milik tersebut, bagi penulis ia bukan merupakan satu isu besar untuk seseorang bergerak dengan lebih jauh.

Artikel Berkaitan:

Misalnya basikal, dengan hanya RMB1.50 (RM1) untuk 30 minit, pengguna boleh bergerak sejauh 10 kilometer dengan berbasikal.

Walaupun tiada masalah dengan pengangkutan namun dalam situasi penulis, lama-kelamaan berasa bosan kerana hanya menikmati makanan yang sama hampir setiap hari.

“Mungkin ada lebih banyak restoran yang halal, namun hanya ini sahaja yang berdekatan dan boleh pergi menggunakan basikal,” kata seorang wartawan Turkiye yang telah menetap di Beijing selama tiga tahun.

Dalam pada itu, penulis yang kini sudah serasi dengan pelbagai jenis makanan dari negara-negara yang lain walaupun sebelum ini hanya berani makan nasi putih dan telur mata kerbau sahaja setiap hari.

Jika tidak memakan makanan segera, beralih ke restoran Turkiye atau Pakistan. Itu sahaja makanan halal yang ada di sekitar kawasan penginapan penulis.

Tambahan, restoran yang mempunyai tanda halal ini juga sering kali mempunyai ramai pelanggan.

Bukan sahaja Muslim, tetapi yang bukan Muslim juga turut sama makan di situ.

Difahamkan, pelanggan-pelanggan yang makan di restoran halal amat meyakini makanan yang disediakan bukan sahaja suci dan bersih malah memenuhi selera mereka.

“Saya lebih selesa makan di sini sebab makanan yang dimakan itu diyakini kebersihannya.

“Jadi, saya tidak berasa bimbang untuk makan,” kata salah seorang pelanggan yang ditemui penulis.

Penulis juga berkesempatan untuk juga bertanyakan kepada pemilik sebuah kedai makan dari Turkiye, yang begitu berani membuka perniagaan di negara itu dan berhadapan dengan pelbagai cabaran.

Jawabnya, selain tidak takut menanggung sebarang risiko, niatnya adalah baik iaitu untuk memudahkan umat Islam mencari makanan halal di kota Beijing.

“Lagipun, seperti awak lihat, kedai kita alhamdulillah memang akan ada pelanggan setiap masa. Tidak kira apa sahaja agama,” tambahnya.

Umat Islam kumpulan minoriti

Berdasarkan pencarian penulis, kemungkinan makanan halal agak sukar dijumpai kerana umat ​​Islam merupakan kumpulan minoriti di China.

Golongan tersebut hanya mewakili kira-kira 1.5 peratus bersamaan 20 juta penduduk daripada jumlah penduduk sebenar China.

Bilangan Muslim yang sedikit menjadi punca kesukaran mencari restoran halal di Beijing.
Bilangan Muslim yang sedikit menjadi punca kesukaran mencari restoran halal di Beijing.

Jika di Malaysia, semestinya ia satu jumlah yang besar. Namun tidak di China. Ini kerana China mempunyai penduduk paling ramai di dunia iaitu sebanyak 1.4 bilion.

Tumpuan terbesar umat Islam di China adalah di Xinjiang. Jadi, antara sebab tidak banyak restoran halal di sekitar Beijing ialah ibu kota ini tidak mempunyai bilangan Muslim yang ramai. Namun begitu, di Beijing juga terdapat satu kawasan untuk komuniti Islam iaitu Niu Jie yang mana jaraknya dari kawasan penulis adalah sekitar lapan kilometer.

Di situ, terdapat banyak kemudahan umat Islam antaranya masjid dan juga gerai makan.

Tidak perlu untuk mencari, gerai makan yang halal banyak di deret-deret kedai.

Namun pada ketika ini penulis amat merindui nasi lemak dan juga roti canai di Shah Alam.

*Nazrin Zulkafli merupakan wartawan Sinar Harian yang kini sedang menyertai program Pusat Komunikasi Media Antarabangsa China (CIPCC) di Beijing, China.