Tiga lelaki ditahan disyaki bergaduh

Polis masih mengesan suspek lain yang terlibat dalam kes pergaduhan di kawasan pusat hiburan di Jalan Tun Razak pada Jumaat. Gambar kanan: Rakaman insiden pergaduhan tular di media sosial.
Polis masih mengesan suspek lain yang terlibat dalam kes pergaduhan di kawasan pusat hiburan di Jalan Tun Razak pada Jumaat. Gambar kanan: Rakaman insiden pergaduhan tular di media sosial.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes pergaduhan di kawasan pusat hiburan di Jalan Tun Razak, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju telah menerima laporan kes pergaduhan itu pada jam 4.54 pagi.

"Siasatan awal mendapati pergaduhan tersebut melibatkan sekumpulan lima hingga enam lelaki tempatan serta warga asing manakala mangsa merupakan seorang lelaki warga Australia," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, mangsa telah dipukul secara beramai-ramai dan salah seorang daripada suspek menggunakan objek dipercayai senjata tajam sehingga mendatangkan kecederaan pada mangsa.

Mangsa cedera di leher, badan dan telapak tangan, dia telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur, mangsa kini dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di hospital tersebut," ujarnya.

Ashari berkata, pihaknya telah menahan tiga suspek berusia 20 hingga 30 tahun bagi membantu siasatan.

"Kesemua suspek direman selama empat hari bermula Sabtu hingga Selasa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan," katanya.

Tambah beliau lagi, pihaknya masih mengesan suspek lain yang masih bebas.

Artikel Berkaitan:

"Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu boleh menghubungi Pusat Kawalan IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222," ujarnya.