'Tuah sauk ikan seekor'

Peserta acara menyauk ikan sempena Pesta Loma 2022 di Dataran Loma, Gerik.
Peserta acara menyauk ikan sempena Pesta Loma 2022 di Dataran Loma, Gerik.
A
A
A

GERIK - Kalau sudah rezeki, dengan hanya seekor ikan pun boleh menjadi juara. Itu yang berjaya dibuktikan seorang suri rumah, Siti Mariyam Abdullah, 48, apabila dia dinobatkan johan pertandingan menyauk ikan sempena Pesta Loma 2022 di Dataran Loma Kampung Bandariang pada Ahad.

Kemenangan itu adalah hasil tangkapan seekor ikan loma yang beratnya hanya 100 gram.

Siti Mariyam gembira apabila hasil ikan yang diperolehi melayakkannya menang hadiah utama bagi acara menyauk ikan sempena Pesta Loma 2022.
Siti Mariyam gembira apabila hasil ikan yang diperolehi melayakkannya menang hadiah utama bagi acara menyauk ikan sempena Pesta Loma 2022.

Tangkapan itu membawa tuah apabila 14 peserta lain yang menyertai aktiviti sama gagal memperoleh sebarang tangkapan.

Ketika ditemui, Siti Mariyam menyifatkan kemenangannya itu sebagai rezeki untuk keluarga.

Dia menyertai aktiviti itu bersama suaminya sekadar mengisi masa lapang dan untuk memeriahkan pesta yang menjadi acara tahunan di kawasan berkenaan.

"Saya tidak meletakkan harapan tinggi untuk menang kerana maklum semua peserta pakar dalam menyauk ikan.

"Tak sangka pula, walau dapat seekor ikan, saya jadi pemenang utama," katanya yang membawa pulang hadiah wang tunai RM150.

Artikel Berkaitan:

Siti Mariyam bersama ikan loma seberat 100 gram yang membawa tuah dalam acara menyauk ikan sempena Pesta Loma 2022 pada Ahad.
Siti Mariyam bersama ikan loma seberat 100 gram yang membawa tuah dalam acara menyauk ikan sempena Pesta Loma 2022 pada Ahad.

Pesta Loma yang dikenali pesta menyauk ikan loma di Sungai Rui mula diperkenalkan pada 2016 dan telah dijadikan acara tahunan. Hanya pada tahun 2020 dan 2021 aktiviti itu tidak dianjurkan akibat pandemik Covid-19.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor, Salbiah Mohamed berkata, Sungai Rui mempunyai keistimewaan apabila menjadi satu-satunya laluan ikan loma untuk melepaskan telur di hulu sungai khususnya pada Ogos hingga November setiap tahun.

Menurutnya, pada kebiasaan musim tiba, ikan loma lebih mudah diperoleh setiap kali selepas hujan.

"Kalau dekat Sungai Rui ini, nak tahu ada atau tidak, ikut pada hujan, kalau hujan lebat, ikan-ikan ini akan naik.

Salbiah
Salbiah

"Tapi disebabkan dua ke tiga hari ini hujan sikit-sikit sahaja, jadi ikan yang kita dapat hari ini, tidaklah begitu banyak," ujarnya.

Beliau berharap, penganjuran Pesta Loma dapat dimasukkan dalam kalendar pelancongan agar dapat diketengahkan kepada masyarakat luar.

Katanya, keunikan Sungai Rui yang dipenuhi spesis ikan loma pada musim tertentu itu tidak diperolehi di kawasan dan negeri lain.

Salbiah (tengah) bersama pelajar MRSM Gerik selepas aktiviti menanam pokok sempena Pesta Loma 2022.
Salbiah (tengah) bersama pelajar MRSM Gerik selepas aktiviti menanam pokok sempena Pesta Loma 2022.

"Hanya di sini sahaja setiap tahun ikan loma akan naik, jadi kalau dimasukkan dalam kalendar pelancongan, sekurang-kurangnya masyarakat luar dapat merasai kemeriahan bagaimana penduduk di sini sauk ikan loma, meriahnya umpama pesta," jelas beliau.

Selain aktiviti menyauk ikan, Pesta Loma 2022 turut dimeriahkan dengan acara sukan rakyat, pertandingan memasak ikan sungai, siang ikan loma, mewarna, jualan makanan dan menamam pokok merbau bersama pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Gerik.

Acara merakit sejauh 20 kilometer menyusuri Sungai Rui turut diadakan dengan disertai 41 pasukan dari Titi Gantung Kampung Jong hingga ke Dataran Loma.

Orang ramai yang hadir memeriahkan Pesta Loma 2022 di Dataran Loma dekat Kampung Bandariang, Gerik pada Ahad.
Orang ramai yang hadir memeriahkan Pesta Loma 2022 di Dataran Loma dekat Kampung Bandariang, Gerik pada Ahad.