TNB Research, Sedania nilai potensi jana tenaga air empangan

TNBR dan Sedania bersedia untuk melaksanakan projek turbin kuasa mikro hidro di empangan dan takungan air yang berpotensi di seluruh Malaysia. (Gambar dalam dari kiri Mohd Hariffin dan Ruppert)
TNBR dan Sedania bersedia untuk melaksanakan projek turbin kuasa mikro hidro di empangan dan takungan air yang berpotensi di seluruh Malaysia. (Gambar dalam dari kiri Mohd Hariffin dan Ruppert)
A
A
A

TNB Research Sdn Bhd (TNBR) dan Sedania Technologies Sdn Bhd menjalin kerjasama menilai potensi menjana tenaga daripada air lebihan empangan dan takungan air di seluruh Malaysia.

Melalui perjanjian kerjasama tersebut, Sedania akan menggunakan turbin mikro kuasa hidro TNBR yang cekap tenaga untuk menjana elektrik daripada air yang dilepaskan di empangan.

Setiap satu daripada 30 hingga 40 kilowatt turbin mikro kuasa hidro ini boleh menjana sehingga sekitar 305,000 kilowatt-jam tenaga hijau setahun.

Dengan lebih 70 empangan dan takungan air di seluruh Malaysia, potensi daripada sumber tenaga mikro hidro tersebut dianggarkan melebihi 40 gigawatt-jam setahun, cukup untuk membekalkan tenaga elektrik bebas karbon kepada kira-kira 10,000 rumah.

Projek sulung dua rakan kongsi ini dilaksanakan di empangan Kota Tinggi, Johor.

Sedania telah dianugerahkan oleh syarikat minyak dan gas multinasional untuk menilai dan mencadangkan kebolehlaksanaan menggunakan turbin mikro kuasa hidro yang cekap tenaga untuk menjana tenaga elektrik daripada air lebihan empangan tersebut.

Tanggungjawab Sedania merangkumi aspek kewangan dan teknikal projek manakala TNBR menyumbangkan kepakaran teknikal melalui reka bentuk dan pemasangan turbin mikro kuasa hidro.

Pengarah Urusan TNBR, Dr Mohd Hariffin Boosroh berkata, TNB memperjuangkan peralihan tenaga yang bertanggungjawab dan inklusif dengan aspirasi untuk mencapai pelepasan karbon bersih-sifar menjelang 2050.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, TNB melabur dalam teknologi hijau baharu seperti turbin kuasa mikro hidro cekap tenaga ini yang merupakan hasil penyelidikan organisasi itu di TNBR.

"TNB tidak boleh melaksanakan inisiatif ini sendiri dan berharap untuk bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi yang strategik.

"Usaha sama ini menggambarkan bagaimana kerjasama penyelidikan dan industri memainkan peranan yang berpengaruh dalam pembangunan penyelesaian yang inovatif dan lestari untuk Malaysia," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Sedania, Daniel Ruppert pula berkata, bersama-sama dengan TNBR, pihaknya berhasrat untuk melengkapkan empangan di Malaysia dengan turbin mikro kuasa hidro yang cekap tenaga, bagi membolehkan semua pelanggannya menggunakan air lebihan empangan sebagai sumber tenaga.

"Malaysia harus menjadi medan teknologi hijau buatan Malaysia dengan rekod prestasi mencapai kelestarian tenaga," katanya.