Sathia nafi Sarawak United sudah jelaskan gaji tertunggak

Sathianathan
Sathianathan
A
A
A

BEKAS pengendali Sarawak United, B Sathianathan menafikan kelab itu telah menyelesaikan semua bayaran sepertimana yang dinyatakan di dalam hebahan media Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada 21 September lalu.

Hebahan pentadbir Liga Malaysia itu menjelaskan Sarawak United telahpun menjelaskan semua bayaran gaji tertunggak kepada pemain sehingga Ogos 2022 dan pegawai pasukan sehingga Julai 2022.

“Saya dengan ini menafikan bahawa Sarawak United telahpun berjaya menyelesaikan kesemua bayaran sepertimana yang dinyatakan di dalam hebahan media tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Jelas Sathia, tuntutan pembayaran dilakukan terhadap Sarawak United itu melibatkan kekurangan bayaran gaji bagi 2021, tunggakan bayaran gaji Februari 2022 sehingga Jun 2022 (lima bulan) dan kekurangan bayaran Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Menurutnya, umum mengetahui bahawa beliau telahpun menamatkan kontrak atas persetujuan bersama Sarawak United atas faktor kesihatan pada 12 Jun 2022.

“Semasa mendapatkan rawatan kesihatan, saya mendapat tahu bahawa tiada sebarang polisi insuran yang dicarumkan sehingga menyebabkan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri bagi menampung pembayaran kos di hospital.

“Kos ratusan ribu terpaksa ditanggung saya sendirian. Pada masa sama, Sarawak United tidak memberikan sebarang maklum balas atas tuntutan saya sehingga terpaksa melantik peguam untuk meneruskan tindakan perundangan terhadap Sarawak United sebagai langkah akhir untuk menegakkan hak sepertimana termaktub dalam kontrak,” ujar beliau lagi.

Pada masa sama Sathia juga mengesa MFL untuk membuat satu siasatan lanjut terperinci terhadap Sarawak United berikutan kegagalan untuk memberikan fakta sebenar berkaitan dengan keberhutangan kelab itu kepada MFL.

Artikel Berkaitan:

“Saya tidak pernah menandatangani mana-mana surat persetujuan untuk menerima pembayaran secara ansuran dan sehingga kini tuntutan masih belum dijelaskan secara penuh oleh Sarawak United,” katanya.