Sukma 2022: Sultan Johor ucap tahniah kepada juara

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
A
A
A

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, menzahirkan ucapan tahniah kepada kontinjen Johor atas kejayaan menjuarai Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 yang berakhir, pada Sabtu.

"Tahniah kontinjen Johor juara Sukma 2022," titah Sultan Ibrahim menerusi hantaran di Facebook rasmi baginda, pada Sabtu.

Turut menzahirkan ucapan sama Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

"Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada kontinjen Johor yang memenangi Sukma 2022 yang menutup tirainya hari ini (Sabtu).

"Saya merasa bangga melihat kontinjen Johor dapat meraih 77 emas dalam kejohanan kali ini, sekali gus berjaya melepasi sasaran awal yang diletakkan iaitu 40 emas. Tahniah saya ucapkan sekali lagi kepada kontinjen Johor," titah Tunku Ismail menerusi hantaran di Facebook rasmi baginda, pada Sabtu.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menerusi hantaran di laman Facebook,berkata, Johor mencipta sejarah apabila berjaya menjadi juara buat pertama kali dalam 36 tahun penganjuran Sukma.

Katanya, kerajaan negeri akan mengiktiraf dan memberi penghargaan yang sewajarnya kepada atlet dan kontinjen Johor yang telah mengharumkan nama negeri itu.

"Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua atlet, barisan kejurulatihan, pihak pengurusan, Majlis Sukan Negeri Johor serta semua pihak yang telah menyumbang dalam kejayaan cemerlang kontinjen Johor," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga sedang merancang sesuatu untuk meraikan kejayaan tersebut.

Pada temasya kali ini, barisan atlet Harimau Selatan mengungguli carta kedudukan pingat dengan kutipan 77 emas, 52 perak dan 43 gangsa. - Bernama