Pecah cermin kereta sebelum larikan sekotak tepung gandum

Cermin tempat duduk pemandu sebuah kereta dipecahkan seorang lelaki sebelum melarikan sekotak tepung gandum dalam kejadian di Taman Kota Masai, Pasir Gudang pada Sabtu
Cermin tempat duduk pemandu sebuah kereta dipecahkan seorang lelaki sebelum melarikan sekotak tepung gandum dalam kejadian di Taman Kota Masai, Pasir Gudang pada Sabtu
A
A
A

PASIR GUDANG - Polis menahan seorang lelaki selepas memecah cermin kereta dan mencuri sekotak tepung gandum di Taman Kota Masai di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian tersebut berlaku di hadapan rumah pemilik kereta itu yang berusia 30 tahun pada jam 1.15 pagi.

"Suspek adalah seorang lelaki dewasa berusia 31 tahun telah memecahkan cermin kereta pada bahagian tempat duduk pemandu dan melarikan sekotak tepung gandum.

"Kejadian disedari jiran mangsa sebelum suspek melarikan diri. Mangsa bersama jirannya kemudian mengejar suspek dan berjaya menahannya di Jalan Pulasan, Taman Kota Masai," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, sebatang spanar boleh laras yang digunakan untuk mencuri dan sekotak tepung gandum ditemukan selepas suspek berjaya ditahan.

Katanya, mangsa menghubungi pihak polis sebelum menyerahkan suspek dan barang-barang yang dirampas tersebut kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 427 dan 379 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara satu hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

"Suspek direman selama tiga hari bermula Sabtu sehingga 26 September ini," katanya.

Artikel Berkaitan: