Dekati pengundi baharu pastikan BN menang di Iskandar Puteri

Mohd Hafiz (enam dari kiri) dan Pandak (lima dari kanan) ketika merasmikan Program Denai Sungai Bersama Komuniti 2022 di Kampung Sungai Melayu, Iskandar Puteri pada Sabtu
Mohd Hafiz (enam dari kiri) dan Pandak (lima dari kanan) ketika merasmikan Program Denai Sungai Bersama Komuniti 2022 di Kampung Sungai Melayu, Iskandar Puteri pada Sabtu
A
A
A


ISKANDAR PUTERI - BN masih tidak dapat mengenal pasti kecenderungan pengundi baharu di daerah ini untuk mereka memilih parti mana yang akan disokong pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Kerja UMNO Johor, Pandak Ahmad berkata, faktor pengundi baharu itu amat penting kerana ia terus bertambah setiap bulan secara automatik sehingga Parlimen dibubarkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar itu berkata, sehubungan itu jentera Jalinan Rakyat (JR) perlu bekerja keras menyantuni pengundi baharu yang dilihat menjadi faktor pemangkin kepada kejayaan parti pada PRU15.

"Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kita mempunyai kira-kira 117,000 pengundi baharu di Kota Iskandar dan kita jangka meningkat lebih 120,000 pengundi baharu.



"Pendekatan untuk mendekati pengundi baharu ini berbeza kerana mereka tidak begitu ke arah memilih parti. Mereka lebih senang jika parti mendekati mereka dan mengadakan program yang memenuhi minat mereka.

"Dari situlah kita mendekati mereka, mendengar suara dan hasrat mereka. Oleh itu, JR kena kerja kuat untuk menawan pengundi baharu ini untuk bersama parti membentuk kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Denai Sungai Bersama Komuniti 2022 di Dewan Raya Kampung Sungai Melayu pada Sabtu.

Turut hadir, Datuk Bandar Iskandar Puteri, Datuk Mohd Haffiz Ahmad dan Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail.

Mengulas persiapan parti menjelang PRU15, Pandak berkata, jentera parti kini sudah bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa sahaja.
Artikel Berkaitan:


Menurutnya, pergerakan jentera parti lebih berkeyakinan dan bersemangat tinggi selepas sesi libat urus bersama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bulan lalu.

"Kita di peringkat cawangan dan Pusat Daerah Mengundi (PDM) di seluruh negeri sudah bersiap sedia, hanya menunggu butang ditekan sahaja. Maknanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob umum sahaja bubar, kita dah boleh mula," katanya.

Tambahan pula katanya, UMNO dan BN baharu sahaja terlibat PRN, sudah tentu semangat juang masih tinggi selain yakin akan mampu membantu parti mencapai kejayaan besar.