PRU15: KJ dipelawa bertanding di Alor Setar

Khairy dan Mohd Yusof & Mohd Yusof
Khairy dan Mohd Yusof & Mohd Yusof
A
A
A

ALOR SETAR - UMNO Bahagian Alor Setar mengalu-alukan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk bertanding di Parlimen Alor Setar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Bahagian UMNO Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail berkata, menjadi satu kerugian kepada parti tersebut sekiranya pemimpin muda itu tidak mendapat tempat pada PRU akan datang kerana beliau adalah aset masa depan negara.

Menurutnya, UMNO bahagian tersebut terbuka untuk menerima mana-mana calon yang berwibawa dan mampu menjadi contoh seperti Ahli Parlimen Rembau itu.

"Saya ada dengar juga KJ hendak datang ke Alor Setar dan saya alu-alukan, yang pentingnya UMNO yang bertanding di Parlimen Alor Setar itu saja. Siapa itu (calon) saya terbuka. Sebab saya ini orang meniaga, politik ini nombor dua, meniaga nombor satu. Jadi kalau kata ada calon contoh macam KJ dia satu aset negara.

"Kalau dia bersetuju untuk datang bertanding Alor Setar, selamat datang. Kita memang alu-alukanlah. Jadi kita pun boleh bernaung di bawah payung yang besar," katanya ketika sidang akhbar selepas Program Ramah Mesra dan Jualan Harga Patut Parlimen Alor Setar pada Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas nama Khairy disebut bakal bertanding pada PRU15 di Kedah khususnya di Parlimen Alor Setar selepas bekas Ketua Pemuda UMNO itu mengesahkan tidak akan bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Rembau.

Mohd Yusof berkata, beliau tidak mempunyai cita-cita untuk menjadi calon pada PRU akan datang namun sekiranya diarahkan oleh pucuk pimpinan UMNO, beliau menganggap sebagai ketetapan ALLAH SWT dan reda dengan arahan tersebut.

"Tapi kalau parti nak juga saya bertanding, saya redalah. Itu sahaja. Sebab saya, tidak boleh meminta amanah, sebab saya tahu saya tidak mampu jaga amanah itu.

Artikel Berkaitan:

"Saya buat kerja untuk parti. Tuhan pilih saya. saya pun tak pernah minta untuk jadi ketua bahagian, jadi pemimpin. Tapi pada 2018, bekas Ketua UMNO bahagian hendak pencen dan masa itu saya timbalan perlu terima tugas ini dan anggap takdir bekerja untuk parti," katanya.

Tambah Mohd Yusof, UMNO Bahagian Alor Setar telah menyediakan ramai pemimpin muda yang datang daripada pelbagai bidang termasuklah bidang profesional dan usahawan untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Alor Setar pada PRU15.

Berkenaan permohonan mereka yang mahu kerusi Parlimen Alor Setar diserahkan kepada UMNO pada PRU15 kerana berpeluang untuk menang berbanding diberikan kepada MCA seperti sebelum ini, beliau berkata, perkara tersebut akan dibincangkan di peringkat BN dalam mencari penyelesaian terbaik untuk kemenangan parti.