Tindakan PABM harus dihormati

Mohd Nazifuddin
Mohd Nazifuddin
A
A
A

KEPUTUSAN Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) menarik diri daripada mengendalikan sukan angkat berat, yang terpalit isu doping pada Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022 harus dihormati.

Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Mohd Nazifuddin Najib berkata, selaku badan induk, PABM mempunyai kuasa autonomi membuat ketetapan berhubung kesalahan berkaitan isu doping tersebut, yang pada mulanya tidak disambut baik oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

“MOM akan mengutuskan surat rasmi kepada MSN untuk menyokong pendirian persatuan tersebut. Kita harap perkara ini tidak akan berterusan dan dapat diselesaikan dengan baik.

“MOM dan PABM ada berbincang dan kata putus dari mereka kalau ada kes doping perlu ada penarikan diri, tapi disebabkan mesyuarat Jawatankuasa Khas Teknikal Sukma campur tangan, jadi sukan angkat berat tetap dijalankan di Sukma.

"Jadi kita lihat isu itu seharusnya tidak berpanjangan kerana ia telah dibincang dan keputusan itu patut dah dipersetujui,” katanya selepas mesyuarat Majlis Eksekutif MOM kali ke-202 pada Sabtu.

Mohd Nazifuddin berkata, sebarang keputusan dibincangkan berhubung ketetapan itu perlu diikuti dan sekiranya ada sebarang perubahan ia seharusnya tidak diubah tanpa persetujuan Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA).

Beliau mengulas mengenai tindakan dibuat MSN baru-baru ini yang bertindak mengambil alih sepenuhnya tugas penganjuran saingan angkat berat dalam Sukma ke-20 di ibu negara demi kelangsungan sukan itu.

Ia susulan tindakan drastik PABM menarik diri daripada temasya berkenaan gara-gara terdapat tiga kes positif penggunaan bahan terlarang dalam sukan itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: