42 kes buli di sekolah direkodkan di Perak

Sebanyak 42 kes buli direkodkan di sekolah di negeri ini sejak Januari hingga Julai tahun ini. - Gambar hiasan 123rf
Sebanyak 42 kes buli direkodkan di sekolah di negeri ini sejak Januari hingga Julai tahun ini. - Gambar hiasan 123rf
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 42 kes buli direkodkan di sekolah di negeri ini sejak Januari hingga Julai tahun ini berbanding hanya dua kes sepanjang tahun lepas, kata Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri.

Beliau berkata, peningkatan ketara jumlah kes itu adalah disebabkan sekolah-sekolah ditutup ketika negara menghadapi pandemik Covid-19 tahun lalu.

"Kejadian buli ini masih lagi terkawal dan setakat ini ia tidak melibatkan kematian, hanya kecederaan sahaja," katanya kepada pemberita pada program #katakan tidak kepada buli di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson di sini pada Sabtu.

Kata Mohd Yusri, polis bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dalam usaha membentuk persekitaran sekolah yang sejahtera dan selamat kepada pelajar.

Tambahnya, program terbabit dilaksanakan serentak di 12 daerah melibatkan 30 sekolah terutama sekolah berasrama sebagai satu inisiatif daripada peningkatan kes itu.

"Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman pelajar mengenai akibat sekiranya terlibat dalam kesalahan jenayah termasuk buli mengikut peruntukan undang-undang serta peraturan sekolah.

"Kerjasama daripada semua pihak termasuk ibu bapa penting dalam membendung kes-kes sebegini kerana ia membabitkan masa depan pelajar," katanya.

Artikel Berkaitan: