Malaysia, Palestin meterai empat MoU perkukuh hubungan

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan pertemuan dengan Presiden Palestin Mahmoud Abbas. - Foto Bernama.
Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan pertemuan dengan Presiden Palestin Mahmoud Abbas. - Foto Bernama.
A
A
A

NEW YORK - Hubungan akrab antara Malaysia dan Palestin yang terjalin begitu lama diperkukuhkan lagi dengan termeterainya empat memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara di sini pada Jumaat.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Palestin Mahmoud Abbas menyaksikan majlis menandatangani empat MoU mengenai Penubuhan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama, Kerjasama dalam Bidang Kesihatan, Pelancongan dan Hal Ehwal Islam.

Sebelum itu, kedua-dua pemimpin yang berada di kota metropolitan ini untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77, mengadakan pertemuan dua hala di hotel penginapan Abbas.

Pada pertemuan selama 30 minit itu, Ismail Sabri mengulangi komitmen Malaysia dalam mendukung perjuangan dan hak Palestin sebagai sebuah negara yang merdeka, berdaulat dengan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara.

Perdana Menteri turut mengulangi pendirian Malaysia sejak sekian lama iaitu tidak sama sekali menyokong Israel di mana-mana platform antarabangsa sehingga Palestin mendapat hak mereka sebagai negara berdaulat, proses perdamaian Israel dan Palestin selesai serta penamatan pendudukan Israel di wilayah Palestin.

Bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala, Abbas menjemput Ismail Sabri untuk mengadakan lawatan rasmi ke Palestin bagi melihat sendiri penindasan dan kemusnahan yang dilakukan oleh Israel terhadap wilayah itu dan rakyatnya.

Dalam pertemuan itu, Perdana Menteri mengalu-alukan rakyat Palestin menyambung pelajaran di Malaysia dalam bidang-bidang penting untuk pembangunan semula Palestin.

Sehingga kini, terdapat kira-kira 800 penuntut Palestin di universiti terkemuka di Malaysia yang mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang, antaranya teknikal, kejuruteraan serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Di akhir pertemuan itu, Ismail Sabri sekali lagi mengulangi lagi sekali komitmen Malaysia berkaitan isu-isu Palestin dan akan sentiasa memastikan ia diberikan perhatian yang adil dan saksama di forum antarabangsa. - Bernama.

Artikel Berkaitan: