Agong berangkat tahlil, solat Jumaat sempena Hari ATM Ke-89

Al-Sultan Abdullah (tiga dari kiri) menunaikan solat Jumaat bersama jemaah dan warga ATM yang diimamkan oleh Mohamad Hamzah. - Foto Facebook Hishammuddin Tun Husein
Al-Sultan Abdullah (tiga dari kiri) menunaikan solat Jumaat bersama jemaah dan warga ATM yang diimamkan oleh Mohamad Hamzah. - Foto Facebook Hishammuddin Tun Husein
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Jumaat berkenan berangkat menghadiri Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Khutbah Khas Solat Jumaat sempena Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-89 di Masjid Khalid Bin Al-Walid, di sini.

Keberangkatan tiba Seri Paduka pada 12.40 tengah hari Jumaat disambut Menteri Kanan, Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Timbalannya, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz serta Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Majlis dimulakan dengan bacaan yasin dan tahlil dipimpin Timbalan Ketua Pengarah Dasar dan Pengurusan Kor Agama ATM (Kagat), Brigidier Jeneral Mohamad Hamzah Adam sebelum diteruskan dengan penyampaian Khutbah Khas Solat Jumaat bertajuk ‘Kedaulatan Negara Tanggungjawab Bersama’ yang disampaikan oleh Ketua Pengarah Kagat, Mejar Jeneral Mohd Rashidi Bujai.

Seri Paduka kemudian menunaikan solat Jumaat bersama jemaah dan warga ATM yang hadir diimamkan oleh Mohamad Hamzah.

Antara inti pati khutbah yang disampaikan ialah perlunya setiap rakyat Malaysia memahami bahawa tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara bukan hanya dipikul warga ATM, tetapi juga tanggungjawab bersama di samping menghargai keamanan, kesejahteraan dan kedamaian yang bukan mudah diperoleh serta didirikan atas pengorbanan para pejuang terdahulu yang sanggup berjuang demi negara tercinta.

Al-Sultan Abdullah berangkat pulang pada kira-kira 2 petang setelah selesai menunaikan solat Jumaat dan beramah mesra bersama jemaah dan warga ATM yang hadir.

Majlis disertai kira-kira 2,000 pegawai dan anggota ATM termasuk orang awam. - Bernama

Artikel Berkaitan: