Anak Khalid Redza dakwa dipukul, dibuli di penjara

Akif Rusli meneliti dokumen yang diterima daripada pihak pendakwaan pada prosiding sebutan semula kes bunuh Khalid Redza dan anak perempuannya.
Akif Rusli meneliti dokumen yang diterima daripada pihak pendakwaan pada prosiding sebutan semula kes bunuh Khalid Redza dan anak perempuannya.
A
A
A

SEREMBAN - Peguam kepada gadis yang berdepan pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya itu mendakwa dibuli dan dipukul oleh rakan penjara.

Peguam berkenaan, Akif Rusli yang turut mewakili bapa tertuduh Khalid Redza Shuib, 41 yang dituduh membunuh individu sama memaklumkan perkara itu ketika prosiding di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali pada Jumaat.

Beliau berkata, gadis berkenaan merupakan orang kurang upaya (OKU) lembam dan memohon diasingkan bagi mengelakkan terus menjadi mangsa buli dan pukul oleh dua rakan penjara wanita.

"Dia dipukul di bahagian kepala, ditumbuk, dicubit di tangan, ditampar dan dihentak kepala didinding oleh dua rakan penjara wanita sebab dia lembam (OKU).

"Selain itu, dia juga takut untuk memaklumkan kepada warden penjara kerana telah diugut," katanya.

Majistret kemudiannya mencadangkan peguam membuat laporan polis mewakili tertuduh berhubung kejadian itu selain merujuk kepada pegawai penyiasat.

Dalam prosiding sama, Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi memaklumkan pihak pendakwaan bersedia menyerahkan dokumen mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan hari ini iaitu pertuduhan ke atas Khalid Redza yang didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Siti Syarifah Aibiddin, 35.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 25 Oktober depan untuk serahan dokumen.

Artikel Berkaitan:

Pada 13 April lalu, Khalid Redza dan anak perempuannya yang masih di bawah umur didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak perempuan, Hanan Hasrul Izwan, 5, susulan penemuan tengkorak dan cebisan tulang pada 7 April lalu.

Khalid Redza turut didakwa membunuh seorang wanita, Meriamah Abdullah Basam, 29.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, Khalid Redza berdepan pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Siti Syarifah yang mana tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Tertuduh turut didakwa melakukan kesalahan pengabaian ke atas seorang kanak-kanak, Sufiy Hasrul Izwan berusia 20 bulan iaitu kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.