RM144,000 buat anak Pahang ke Jordan, Mesir

Ahmad Hairi (dua dari kanan) menyampaikan replika cek kepada salah seorang pelajar yang akan melanjutkan pelajaran ke luar negara pada majlis ramah mesra diadakan di Dewan Seminar Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di sini.
Ahmad Hairi (dua dari kanan) menyampaikan replika cek kepada salah seorang pelajar yang akan melanjutkan pelajaran ke luar negara pada majlis ramah mesra diadakan di Dewan Seminar Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di sini.
A
A
A

KUANTAN- Majlis Ugama Islam dan Adat Resam (Muip) menyalurkan peruntukan sebanyak RM144,000 kepada 39 pelajar bakal melanjutkan pengajian mereka di Jordan dan Mesir pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Hairi Hussain berkata, peruntukan itu merangkumi tajaan tiket penerbangan sehala dan bantuan wang tunai sebanyak RM1,200 seorang.

Menurutnya, penyaluran peruntukan ini adalah melalui skim bantuan dermasiswa kepada para penuntut yang melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi termasuklah di dalam negeri mahupun di luar Negara.

"Kita akan naikkan kadar skim bantuan dermasiswa di Mesir dan Jordan mengikut keputusan diperoleh oleh pelajar. Semakin tinggi keputusan, semakin banyak kadar bantuan diberikan.

"Ini bagi memberi galakkan kepada penuntut untuk berusaha lebih bersungguh-sungguh selain daripada menampung kos pengajian dan kos sara hidup di sana," katanya pada Jumaat.

Sebelum itu, beliau beramah mesra bagi meraikan pelajar Pahang yang bakal melanjutkan pengajian ke Jordan dan Mesir diadakan di Dewan Seminar, Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di sini.

Hadir pada majlis tersebut, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang, Datuk Dr Zulkifle Ali Al-Hafiz dan Timbalan Mufti Pahang, Datuk Abdul Zaki Md Zin serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) Muip, Dr Asmadi Abdul Rahman.

Rombongan pelajar tersebut dijangka berlepas ke Jordan dan Mesir pada 25 dan 28 September ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau mengharapkan semua penuntut berkenaan dipermudahkan segala urusan dan pulang dengan kejayaan cemerlang seterusnya berbakti di bumi bertuah ini.