PN rangka dasar utama manifesto PRU15

Tuan Ibrahim ketika berucap pada Pra Himpunan Teguh Pertahan di Dataran Kompleks Sukan Terengganu, di Kuala Nerus, malam Khamis.
Tuan Ibrahim ketika berucap pada Pra Himpunan Teguh Pertahan di Dataran Kompleks Sukan Terengganu, di Kuala Nerus, malam Khamis.
A
A
A

KUALA NERUS - Perikatan Nasional (PN) telah merangka asas dan dasar utama manifesto bersama yang akan ditawarkan kepada rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jawatankuasa manifesto telah ditubuhkan khusus untuk mengkaji perkara-perkara dasar yang perlu ditumpukan oleh gabungan parti politik itu.

Jelas beliau, tumpuan utama yang akan diberikan ialah berhubung pemulihan ekonomi negara serta kebajikan rakyat.

"Tumpuan utama kita ialah pemulihan ekonomi negara, kedua kita akui isu perubahan iklim mempunyai impak secara langsung kepada situasi negara, jadi kita beri keutamaan soal kebajikan rakyat.

"Kita juga akan melihat isu yang menjadi keutamaan dalam konteks ini antaranya sebuah negara berintegriti tinggi, bebas rasuah dan menjamin keadilan kepada semua rakyat di Malaysia," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Pra Himpunan Teguh Pertahan di Dataran Kompleks Sukan Terengganu, di sini, malam Khamis.

Ditanya sama ada manifesto di peringkat negeri menyamai peringkat Persekutuan, katanya, negeri akan turut menuruti manifesto dirangka namun terdapat tawaran khusus diberi tumpuan bagi setiap negeri tersebut.

"Negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah, mereka juga akan merangka manifesto dan agenda tersendiri yang akan ditawarkan mengikut negeri masing-masing.

"Tetapi, di peringkat pusat kita merangka tawaran yang sama memandangkan Pas kini adalah sebahagian daripada kerajaan. Kita akan ada tawaran-tawaran yang akan kita buat dalam konteks negara," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, Tuan Ibrahim berkata, jentera Pas kini di peringkat akhir persediaan untuk menghadapi PRU15.

"Dari segi parti kita masih menunggu tarikh persiapan PRU15 namun secara keseluruhannya jentera di negeri-negeri telah pun bersedia sepenuhnya untuk menghadapi pilihan raya.

"Berkenaan calon pula kita telah mengadakan mesyuarat pertama bersama rakan dalam PN dan ia dijangka selesai selepas mesyuarat kedua dan ketiga nanti. Kita sudah berada di 'gear' akhir dan telah bersedia sepenuhnya," katanya.