Rangka mangsa ditemui, SAR runtuhan kuari ditamatkan

Operasi mencari dan menyelamat tragedi runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai akhirnya ditamatkan selepas enam bulan.
Operasi mencari dan menyelamat tragedi runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai akhirnya ditamatkan selepas enam bulan.
A
A
A

IPOH - Operasi mencari dan menyelamat dua mangsa yang tertimbus dalam tragedi runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai, Mac lalu akhirnya ditamatkan selepas enam bulan diaktifkan.

Penamatan operasi jam 6 petang pada Khamis itu dibuat susulan penemuan cebisan tulang dan rangka dipercayai milik kedua-dua mangsa pada Selasa dan Rabu lalu bersama jentera yang digunakan ketika kejadian.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, operasi terakhir dijalankan di tempat kejadian pada Khamis berjaya menemui sebahagian lagi tulang dan cebisan pakaian milik mangsa kedua.

Menurutnya, pasukan mencari dan menyelamat juga telah mengeluarkan rangka jentera yang dikendalikan mangsa dari timbunan batu di tempat kejadian.

"Dengan penemuan kedua-dua jentera, cebisan pakaian dan tulang manusia dipercayai milik dua mangsa yang dilaporkan hilang semasa kejadian runtuhan itu, maka operasi di tempat kejadian ditamatkan.

"Kesemua hasil penemuan mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengenal pasti identiti mangsa," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kepada semua pihak yang menjalankan operasi berkenaan khususnya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak.

Juga Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Pejabat Daerah dan Tanah Kinta, Jabatan Kerja Raya (JKR), Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan pengusaha kuari yang turut sama menjayakan operasi mencari dan menyelamat itu.

Artikel Berkaitan:

Insiden runtuhan pada 8 Mac lalu telah mengakibatkan dua mangsa tertimbus iaitu Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49, bersama jentera digunakan.

Seorang lagi mangsa berusia 35 tahun yang mengalami patah tulang kaki dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk rawatan manakala rakannya berusia 38 tahun cedera ringan.

Pada Selasa, pasukan mencari dan menyelamat menemui cebisan tulang dan rangka manusia bersama serpihan baju dan jengkaut di lokasi berkenaan, milik seorang daripada mangsa runtuhan.

Sebahagian rangka mangsa kedua tragedi runtuhan itu pula berjaya ditemukan pada Rabu sekitar jam 12 tengah hari.

Laporan sebelum ini menyebut, waris keluarga kedua-dua mangsa akan dipanggil bagi menjalani ujian DNA sebaik semua cebisan tulang dan rangka dibawa keluar dari lokasi runtuhan.

end