Ridwan 'berperang emosi' sebelum genggam emas

Ridwan mengungguli acara keirin di Velodrom Nasional Malaysia di Nilai pada Khamis. - Foto Facebook MSN Johor
Ridwan mengungguli acara keirin di Velodrom Nasional Malaysia di Nilai pada Khamis. - Foto Facebook MSN Johor
A
A
A

ATLET berbasikal trek Johor, Muhammad Ridwan Sahrom berdepan 'drama' sebelum berjaya mengakhiri penantian empat tahun untuk meraih pingat emas acara keirin Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022 di Velodrom Nasional Malaysia di Nilai pada Khamis.

Pelumba berusia 21 tahun itu terpaksa 'berperang emosi' apabila pingat emas ketiga peribadinya 'diragut' selepas bantahan dibuat oleh beberapa pihak menyebabkan beliau dikenakan penalti sehingga tercampak ke kedudukan kelima dalam saingan akhir.

Muhammad Ridwan didakwa bergerak ke luar trek dengan niat memaksa lawan untuk naik ke atas ketika saingan akhir acara keirin pada Khamis.

Kem Johor yang ternyata tidak berpuas hati kemudiannya melakukan bantahan sebelum Jawatankuasa Komisar Sukma memutuskan Muhammad Ridwan adalah pemenang mutlak pingat emas acara keirin Sukma ke-20.

"Saya cukup kecewa dan sedih serta marah dengan keputusan ini. Saya tahu selaku pelumba profesional, saya tidak melakukan sebarang kesalahan pada perlumbaan, namun ada pihak membuat bantahan.

"Apa-apa pun bersyukur pingat emas acara (keirin) ini akhirnya menjadi milik saya selepas menunggu selama empat tahun. Kerja keras saya ternyata berbaloi. Terima kasih kepada semua yang menyokong saya," katanya.

Keputusan tersebut menyaksikan Muhammad Ridwan mencatat masa 10.737 saat mengatasi pelumba Terengganu, Zulfahmi Aiman Zulkurnain yang memenangi perak, manakala gangsa dimenangi wakil Kedah, Umar Hasbullah. - Bernama

Artikel Berkaitan: