Salahuddin dilantik Pengerusi PH Johor

Salahuddin Ayub
Salahuddin Ayub
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pakatan Harapan (PH) Johor melantik Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub sebagai Pengerusi PH Johor yang baharu.

PH Johor dalam satu kenyataan pada malam Rabu memaklumkan, keputusan tersebut dicapai melalui mesyuarat baru-baru ini.

"Mesyuarat diadakan bagi memperkemas struktur kepimpinan PH negeri khususnya selepas Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyempurnakan kongres tahunan pemilihan parti.

"Hasil keputusan mesyuarat, PH Johor telah memutuskan Ahli Parlimen Pulai merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram, Datuk Seri Salahuddin Ayub sebagai Pengerusi PH Johor," menurut kenyataan itu.

PH Johor memberitahu, Salahuddin dibantu tiga Timbalan Pengerusi terdiri daripada Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan; Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh dan ADUN Perling, Liew Chin Tong yang juga Ketua Pembangkang Johor.

"Jawatan setiausaha telah diamanahkan kepada Faizul Salleh (Amanah), Bendahari pula S Gopalakrishnan (PKR) dan Ketua Penerangan pula Sheikh Umar Bagharib Ali (DAP)," menurut kenyataan itu.

PH Johor turut menyatakan kesiap siagaan jentera parti berhadapan kemungkinan pilihan raya umum diadakan pada bila-bila masa sepertimana desakan pemimpin UMNO terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Namun PH Johor berpandangan, agenda membantu rakyat sepatutnya menjadi keutamaan kerajaan dan parti-parti politik khususnya saat berhadapan keadaan ekonomi yang suram serta jangkaan iklim yang membimbangkan ketika ini," menurut kenyataan itu.

Artikel Berkaitan: