Jaguh longkang menang hadiah utama

Muhammad Nasir bersama peserta Jom Bowling 3.0 sebelum acara bermula.
Muhammad Nasir bersama peserta Jom Bowling 3.0 sebelum acara bermula.
A
A
A

LAZIMNYA, sesuatu pertandingan akan memilih juara untuk memenangi hadiah lumayan tapi acara Jom Bowling 3.0 anjuran Kelab Alumni Karangkraf (KAK) baru-baru ini menampilkan kelainan apabila mengiktiraf peserta paling corot sebagai pemenang hadiah utama.

Melalui kategori ‘Juara Longkang’ dua peserta, lelaki dan wanita, yang memperoleh mata terendah dipilih memenangi hadiah utama iaitu pakej penginapan tiga hari dua malam di Hotel Putra Brasmana, Kuala Perlis, Perlis.

Ia dimenangi Mohd Saad Salleh dengan jatuhan 145 pin dan Ain Balqis dengan 115 jatuhan pin. Saad, 75, turut memenangi kategori ‘Pemain Paling Senior’.

Beberapa kategori lain turut dipertandingkan seperti ‘High Score’ individu dan berpasukan, ‘High Game’ individu, ‘Team Havoc’, ‘Famili Paling Sporting’ dan ‘Penyokong Paling Sporting’.

Ain Balqis menerima hadiah utama daripada Rodly.
Ain Balqis menerima hadiah utama daripada Rodly.

Pertandingan yang berlangsung pada Ahad, 18 September di Wangsa Bowl, Wangsa Walk itu disertai oleh 90 pemain yang terdiri daripada ahli KAK serta keluarga mereka. Ia merupakan penganjuran kali ketiga selepas turut dianjurkan pada 2017 dan 2018.

Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf (KMK), Datuk Muhammad Nasir Hamzah yang juga merupakan Penasihat KAK melakukan ‘roll off’ bagi merasmikan pertandingan itu.

Turut hadir memeriahkan pertandingan itu adalah Pengerusi KMK, merangkap Penaung KAK, Datuk Hussamuddin Yaacub dan CEO Nu Ideaktiv, Syamil Fahim Mohamed Fahim.

Artikel Berkaitan:

Hussamuddin turut hadir memeriahkan acara.
Hussamuddin turut hadir memeriahkan acara.

Hussamuddin dalam ucapan ringkasnya memuji usaha KAK menganjurkan pertandingan ini sebagai salah cara merapatkan ukhuwah dalam kalangan bekas kakitangan KMK serta mencadangkan agar ia dijadikan acara tahunan.

Sementara itu, Presiden KAK, Rodly Fadly berpuas hati dengan perjalanan pertandingan itu dan menganggap ia mencapai matlamat sebenar KAK.

Syamil menyampaikan hadiah kepada Saad Salleh.
Syamil menyampaikan hadiah kepada Saad Salleh.

“Tujuan kami bukan hendak mencari siapa jaguh dalam sukan ini sebaliknya lebih bermatlamat beriadah sambil merapatkan hubungan sesama ahli serta keluarga mereka. Saya gembira kerana ada ahli sanggup datang sejauh dari Kelantan semata-mata mahu mengambil bahagian dalam pertandingan ini.

“Elemen kejutan seperti pemilihan ‘Juara Longkang’ sebagai pemenang hadiah utama adalah untuk memeriahkan lagi suasana itu dan ahli menerimanya dengan terbuka,” katanya.