Tak bayar parkir, pemilik syarikat didenda RM200

Seorang pemilik syarikat penyelenggaraan jalan didenda RM200 oleh Mahkamah Telok Datok pada Rabu kerana gagal membayar tunggakan kompaun parkir.
Seorang pemilik syarikat penyelenggaraan jalan didenda RM200 oleh Mahkamah Telok Datok pada Rabu kerana gagal membayar tunggakan kompaun parkir.
A
A
A

KUALA LANGAT - Seorang pemilik syarikat penyelenggaraan jalan didenda RM200 oleh Mahkamah Telok Datok di sini pada Rabu, kerana gagal membayar tunggakan kompaun parkir.

Lelaki berusia 30-an yang pernah dikenakan waran tangkap itu dikenakan hukuman berkenaan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Khairul Farhi Yusob.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara lima hari jika gagal membayar denda.

Dia didakwa atas dua pertuduhan kesalahan parkir untuk dua kenderaan penyelenggaraan jalan dan pertuduhan dibuat mengikut Perintah Pengangkutan Jalan Perenggan 8, Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) 2007.

Mengikut rekod, tertuduh mempunyai tunggakan kompaun parkir sebanyak 94 notis.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Hasrizal Abd Rahim.

Sementara itu, MPKL dalam kenyataan di Facebook memaklumkan pihaknya menawarkan diskaun bayaran kompaun parkir sehingga 31 Disember depan.

Menurut kenyataan itu, tawaran diskaun diberi sempena ulang tahun pertama pengisytiharan MPKL.

Artikel Berkaitan:

"Potongan adalah membabitkan kompaun sebelum tahun 2019 iaitu sebanyak RM15 bagi setiap kompaun, manakala RM10 bagi tahun 2020 hingga 2022.

"Orang ramai juga boleh membuat bayaran secara dalam talian melalui Aplikasi Smart Selangor Parking,” kata kenyataan itu.