Kadar tukaran ringgit fleksibel penting sokong ekonomi domestik

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

KADAR pertukaran ringgit yang fleksibel merupakan satu dasar penting bagi mengimbangi keperluan menyerap kejutan luaran untuk menyokong aktiviti ekonomi domestik meskipun dalam keadaan pasaran kewangan dan kadar pertumbuhan ekonomi global yang tidak menentu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan menerusi Bank Negara Malaysia (BNM) akan sentiasa memastikan keadaan pasaran kewangan yang stabil dan lancar selain mengambil langkah-langkah proaktif untuk memastikan kecairan yang mencukupi serta pasaran berdaya tahan bagi memastikan kestabilan nilai ringgit.

"Pemantauan berterusan juga dilaksanakan oleh BNM untuk memastikan keadaan yang teratur dalam pasaran pertukaran asing dan mengelakkan turun naik yang ketara dalam kadar pertukaran ringgit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan akan terus menguruskan risiko perkembangan domestik dan luaran.

"Berbanding tahun 1997 dan 1998, negara kini tidak berada dalam situasi krisis kewangan mahupun ekonomi,” katanya.

Justeru, beliau berkata, kerajaan melalui BNM tidak bercadang untuk menambat ringgit kepada dolar Amerika Syarikat (AS) pada masa ini kerana langkah itu mempunyai risiko dan penggantian yang besar.

"Seandainya tambatan dilaksanakan, Malaysia perlu mengikut sepenuhnya dasar monetari negara yang mata wangnya menjadi ‘rujukan’ atau asas bagi tambatan ringgit.

"Jika ringgit ditambat, Malaysia akan menghadapi kekangan untuk menetapkan dasar monetari dan rakyat terpaksa menanggung kos pembiayaan yang tinggi walaupun keadaan ekonomi negara kita tidak sama seperti di AS,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, katanya, langkah tambatan mata wang juga perlu dilengkapi dengan langkah kawalan modal bagi mengelakkan pengaliran keluar modal.

"Tindakan ini pastinya akan menjejaskan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, walaupun nilai ringgit telah menurun sebanyak 8.7 peratus berbanding dolar AS sejak awal 2022, pelbagai mata wang lain juga merosot dengan kadar yang lebih ketara, termasuk yen Jepun, pound Britain, euro dan dolar Taiwan.

Katanya lagi, pengukuhan meluas dolar AS merupakan faktor utama yang telah mempengaruhi pergerakan pertukaran asing global dan serantau termasuk kenaikan kadar faedah yang besar dan agresif oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) secara kumulatif sebanyak 225 mata asas setakat 20 September 2022.

"Kadar faedah AS dijangka meningkat lagi antara 75 atau 100 mata asas semasa mesyuarat seterusnya pada hari ini bagi membendung inflasi di AS yang terus meningkat,” katanya.

Selain itu, katanya, pulangan aset dalam dolar AS yang lebih tinggi akan menjana permintaan yang lebih tinggi terhadap aset tersebut dalam kalangan pelabur global.

"Ini telah menggugat sentimen dalam pasaran dan kalangan pelabur yang seterusnya bertindak untuk menyusun semula portfolio pelaburan mereka dalam aset selamat dan instrumen kewangan dalam dolar AS.

"Sudah pastinya kebanyakan mata wang dunia akan terus melemah berbanding dolar AS akibat daripada situasi ini,” tambahnya. - Bernama