Empat ahli sindiket edar dadah dicekup

Dadah jenis syabu yang dirampas dalam serbuan Op Tobias di Taman Seri Sentosa pada Isnin. - Foto PDRM
Dadah jenis syabu yang dirampas dalam serbuan Op Tobias di Taman Seri Sentosa pada Isnin. - Foto PDRM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan empat lelaki disyaki ahli sindiket dadah dan merampas lebih lima kilogram (kg) syabu dalam serbuan Op Tobias di sebuah kawasan parkir di sekitar Taman Seri Sentosa di sini pada Isnin.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, ketika ditahan suspek dipercayai dalam perjalanan menghantar dadah itu kepada pelanggan.

Menurutnya, dadah berkenaan dipercayai untuk dipasarkan di sekitar ibu negara.

"Sindiket ini dikesan bergerak aktif sejak empat bulan lalu dan hanya membekalkan dadah kepada individu yang dikenali sahaja.

"Bekalan dadah ini dipercayai diperoleh dari sebuah negeri di utara Semenanjung Malaysia," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Yahaya berkata, kesemua suspek dipercayai tidak mempunyai pekerjaan tetap dan menjadikan kegiatan haram itu sebagai punca pendapatan.

"Tiga daripada suspek telah beberapa kali ditangkap sebelum ini dan mempunyai beberapa rekod lampau membabitkan kesalahan narkotik dan jenayah.

"Tiga daripada suspek ini juga didapati positif dadah jenis ganja," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kesemua dadah tersebut dianggarkan bernilai RM193,680 dan boleh digunakan sekitar 10,760 pengguna.

Katanya, kesemua suspek berusia lingkungan 34 hingga 43 tahun direman tujuh hari bermula Selasa untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.