Wanita pengsan lihat enam rumah terbakar

Bomba memadam kebakaran membabitkan enam rumah jenis separuh kekal, sebuah masjid dan sebuah kenderaan.
Bomba memadam kebakaran membabitkan enam rumah jenis separuh kekal, sebuah masjid dan sebuah kenderaan.
A
A
A

TAWAU - Seorang wanita pengsan selepas melihat enam rumah musnah dalam kebakaran di Lorong Haji Sundu Jalan Apas Batu 2 di sini pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi, wanita yang tidak diketahui identitinya itu telah dihantar ke Hospital Tawau oleh pihak polis bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Julius John Stephen berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kebakaran itu pada jam 9.37 pagi.

Katanya, seramai 17 anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh enam kilometer dari BBP Tawau.

"Kebakaran membabitkan enam rumah jenis separuh kekal di mana dua daripadanya terbakar 100 peratus manakala empat lagi terbakar 30 peratus. Turut terbakar sebuah masjid dan sebuah kenderaan.

"Terdapat juga seorang wanita pengsan di lokasi kejadian difahamkan akibat trauma, namun tidak dapat dipastikan sama ada mangsa pemilik salah sebuah rumah atau bukan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Katanya lagi, operasi memadamkan kebakaran segera dilakukan dengan menggunakan tangki pam jentera dan pili bomba.

"Bomba Komuniti Titingan turut melakukan operasi pemadaman dan api berjaya dikawal pada jam 9.57 pagi sebelum ditamatkan kira-kira sejam kemudian," katanya.

Artikel Berkaitan: