Asyraf Wajdi desak dedah hasil siasatan buku Tommy Thomas

Dari kiri: Asyraf Wajdi, Tommy Thomas
Dari kiri: Asyraf Wajdi, Tommy Thomas
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO mendesak agar kerajaan segera mendedahkan hasil siasatan pasukan khas yang menyiasat segala isu kandungan buku karangan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas bertajuk My Story: Justice in the Wilderness.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia penting bagi memastikan kepercayaan rakyat tidak sesekali terhakis terhadap badan-badan yang terlibat dalam mempertahankan kedaulatan undang-undang negara seperti badan kehakiman, Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Malah katanya, apa yang lebih mustahak adalah mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan dan perundangan negara secara keseluruhannya agar tiada pihak yang teraniaya dan menjadi mangsa kepada politik pihak berkepentingan.

“Dalam kenyataan Pemuda UMNO pada 5 Februari 2021 lagi, kami telah bangkitkan sekurang-kurangnya lapan isu utama yang boleh mengaitkan bekas Peguam Negara itu dengan pelbagai salah laku melibatkan integriti badan kehakiman dan sistem kedaulatan undang-undang negara.

“Antaranya termasuklah penyalahgunaan kuasa dalam isu pelantikan hakim. Tommy mengakui terlibat di dalam mempengaruhi pemilihan dan penetapan hakim-hakim kanan.

“Ini termasuklah Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya dan Hakim Besar di Sabah dan Sarawak serta Hakim Mahkamah Persekutuan melalui beberapa siri perbincangan beliau bersama Perdana Menteri sedangkan beliau bukan Ahli Suruhanjaya Pelantikan Hakim. Ini jelas melanggar Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (Akta 695) 2009,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Jelas Asyraf, berikutan pendedahan Tommy juga, siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) juga harus disekalikan dengan dakwaan salah laku kehakiman terkandung dalam afidavit difailkan oleh Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer pada tahun 2019 sebagaimana desakan sama dibuat Suara Rakyat Malaysia (SUARAM).

Tambahnya, pendedahan dilakukan juga menzahirkan wujudnya campur tangan jelas Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam badan pengadilan dan kehakiman, yang mana ia bertentangan dengan prinsip pengasingan kuasa sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

“Tommy juga melakukan pendakwaan terpilih secara tidak adil apabila beliau bertindak menggugurkan pendakwaan bahkan menarik balik kes yang sedang dibicarakan melibatkan kes rasuah pemimpin tertinggi Lim Guan Eng walaupun agensi penguatkuasaan SPRM mengakui mereka mempunyai kes terhadap mantan Menteri Kewangan itu.

“Dia juga melanggar sumpah kerahsiaan Jawatan dan Akta Rahsia Rasmi (Akta 88) 1972 dengan mendedahkan kepada umum di dalam bukunya mengenai isi kandungan perbincangan dan konsultasi beliau selaku Peguam Negara bersama Perdana Menteri, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja yang diklasifikasikan sebagai sulit,” jelasnya.

Tegas Asyraf, Tommy juga mengakui ‘melobi’ jawatan Peguam Negara sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada tahun 2013 dan secara langsung ataupun tidak, telah menzahirkan kecenderungan politiknya hingga mencairkan prinsip keadilan dalam melakukan pendakwaan terpilih bersifat politik.

Apa yang lebih mengecewakan, Tommy juga memperlekeh dan mendakwa pegawai-pegawai undang-undang yang berkhidmat di Jabatan Peguam Negara sebagai terlalu birokratik, makan gaji, dan tidak mempunyai komitmen, kompetensi dan semangat dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Dakwaan ini amat serius hingga mampu memberi impak negatif daripada kaca mata rakyat terhadap badan perundangan negara yang seharusnya menjadi benteng keadilan buat mereka,” ujar beliau.