Jadual olahraga patuhi amalan standard

No Image Caption
A
A
A

SEMUA jadual acara olahraga pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022 diputuskan secara bersama dengan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan mengikut amalan standard yang ditetapkan di pelbagai pertandingan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jawatankuasa Media dan Publisiti Sukma, kesemua jadual olahraga telah dimaklumkan lebih awal kepada setiap pasukan yang mempunyai masa mencukupi untuk menyusun penyertaan atlet masing-masing, mengambil kira faktor prestasi serta jarak masa rehat atlet.

Jelas kenyataan itu, masalah kecederaan yang dilaporkan berkemungkinan berpunca daripada tindakan segelintir negeri menyenaraikan seseorang atlet dalam banyak acara tanpa mengambil kira tempoh rehat mencukupi buat mereka.

“Penjelasan ini bertujuan memperbetulkan dakwaan Ketua Jurulatih Terengganu, Zaki Sadri yang mendakwa penjadualan acara dibuat tanpa merujuk kepada pihak berpengalaman.

“Sebagai jurulatih berpengalaman, beliau seharusnya tahu bahawa dalam sukan bertemasya seperti Sukan SEA dan Sukan Asia, acara-acara olahraga juga dilangsungkan pada sesi pagi selain sesi petang dan sesi sebelah malam,” kata kenyataan itu.

Dalam kenyataan yang sama, pihak penganjur Sukma turut menegaskan bahawa rungutan jurulatih jalan kaki Kuala Lumpur, V Subramaniam yang menyalahkan pegawai pertandingan atas dakwaan atlet terpaksa menghabiskan jarak tambahan 400 meter dalam acara jalan kaki 5,000 meter wanita sudah disiasat dan dibuktikan tidak benar.

“Subramaniam dan pasukan Kuala Lumpur tidak pernah mengemukakan sebarang bantahan rasmi dan bukti-bukti kepada penganjur bagi menyokong dakwaan mereka itu.

“Penganjur Sukma XX MSN 2022 minta mana-mana jurulatih dan pegawai pasukan yang mahu membangkitkan sebarang isu supaya merujuk terlebih dahulu kepada pengurusan kontinjen masing-masing yang sentiasa mendapat maklumat terkini dan terperinci daripada penganjur,” kata kenyataan itu.

Artikel Berkaitan: