Tiada kompromi buat atlet gagal ujian doping

No Image Caption
A
A
A

JAWATANKUASA Pengelola Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022 tidak pernah berkompromi dengan mana-mana atlet didapati gagal dalam ujian doping.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan pada Selasa, atlet yang didapati gagal dalam ujian doping secara automatik tidak dibenarkan untuk bertanding pada edisi temasya kali ini.

“Bagi sukan angkat berat di sukma kali ini, semua atlet diwajibkan menjalani ujian doping 30 hari sebelum kejohanan sebagai langkah pencegahan demi memastikan hanya atlet yang bebas daripada pengambilan bahan terlarang dibenarkan bersaing.

“Inisiatif ini diperkenalkan secara bersama di antara Majlis Sukan Negara (MSN)

dan Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) sejak sukma 2018 serta diteruskan untuk penganjuran temasya kali ini.

“Perlu dimaklumkan bahawa ketika ujian 30 hari sebelum pertandingan bermula itu diadakan, tiada peraturan ditetapkan PABM untuk membatalkan penyertaan seluruh pasukan jika ada mana-mana atlet pasukan gagal ujian berkenaan.

“Jawatankuasa Khas Teknikal Sukan Malaysia XX MSN 2022 hanya dimaklumkan

pada 13 September 2022 mengenai ketetapan PABM membatalkan penyertaan

Artikel Berkaitan:

keseluruhan pasukan jika ada mana-mana atlet gagal ujian doping. Makluman itu diterima enam hari sebelum acara angkat berat dijadualkan berlangsung pada sukma kali ini,” kata kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, jawatankuasa Pengelola Sukan Malaysia MSN 2022 turut memberitahu ketetapan pembatalan seluruh pasukan oleh PABM itu juga adalah yang pertama seumpamanya di dunia, berbeza dengan peraturan saingan di peringkat antarabangsa yang hanya membatalkan penyertaan atlet yang terbukti gagal ujian doping.

“Mesyuarat Ketua-ketua kontinjen pada 15 September 2022 telah membincangkan peraturan terbaru PABM itu dan sebulat suara bersetuju membenarkan penyertaan semua pasukan dengan atlet yang lulus ujian doping.

“Pihak penganjur juga telah berbincang dengan Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat, sebelum taklimat sukan angkat berat pada 18 September 2022 selain menjelaskan peraturan terbaru itu tidak terkandung dalam Peraturan Tetap sukma, Peraturan Am sukma dan Peraturan Pertandingan Acara Angkat Berat

sukma 2022 yang dimuktamadkan bersama PABM sebelumnya.

“PABM bagaimanapun bertegas dan satu mesyuarat Jawatankuasa Khas Teknikal

sukma dipanggil pada hari sama untuk membincangkan arahan pembatalan

penyertaan dua pasukan, selain pendirian PABM tidak membenarkan semua

pegawai teknikal bertugas sekiranya dua pasukan itu dibenarkan bertanding,” menurut kenyataan itu lagi.

Tambah kenyataan tersebut, Jawatankuasa Pengelola berdukacita dengan keputusan PABM melarang pembabitan pegawai-pegawai teknikal daripada mengendalikan acara-acara sukan angkat berat.

“Pendirian terbaru PABM itu dihormati dan ia boleh dilaksanakan sekiranya dimasukkan secara rasmi dalam Peraturan Sukan Malaysia serta setiap negeri dimaklumkan perkara tersebut,” menurut kenyataan itu.