Malaysia berpotensi besar bekal stok suapan hasilkan SAF

Ka Siong ketika sidang akhbar selepas membuat lawatan kerja ke kilang penapisan minyak Neste di Tuas pada Selasa. - Foto Bernama
Ka Siong ketika sidang akhbar selepas membuat lawatan kerja ke kilang penapisan minyak Neste di Tuas pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

SINGAPURA - [DIKEMAS KINI] Malaysia berpotensi besar untuk membekalkan stok suapan kepada syarikat yang boleh menghasilkan bahan api penerbangan mampan (SAF), kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata, Malaysia bergerak ke arah membekalkan bahan mentah itu kerana banyak sumber yang boleh digunakan seperti bangkai haiwan dan minyak masak yang terpakai.

"Jadi dalam kes ini, nampak memang potensi kita besar... kalau kita lihat lemak haiwan banyak, minyak masak sahaja Malaysia goreng paling banyak, secara komersial, di mana sahaja.

"Kos pengangkutan ialah kos yang paling besar. Kalau ia boleh dilakukan di Malaysia, ia memang penuh dengan sumber-sumber ini, ia akan menguntungkan negara,” katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja ke Neste Singapura di Tuas pada Selasa.

Turut hadir, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar, Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG) dan Ketua Pegawai Eksekutif Firefly, Philip See serta Pengarah Projek Pengembangan Neste Singapura, Petri Jokinen.

Ka Siong berkata, setakat ini, setiap langkah Malaysia berkaitan penerbangan adalah seiring dengan matlamat Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) iaitu memperkasa agenda Skim Pengurangan dan Mengimbangi Karbon bagi Penerbangan Antarabangsa (CORSIA) serta penggunaan SAF.

Beliau berkata, harga SAF adalah kira-kira tiga kali lebih mahal berbanding bahan api konvensional tetapi ia satu perkara yang perlu Malaysia patuhi menjelang 2030.

"Sebagai ahli majlis ICAO, kita tidak terkecuali dan seluruh dunia akan terikat dengan konvensyen yang akan berlangsung bila-bila masa dari sekarang sampai 2030 dan setiap negara ada polisi yang cukup jelas berapa sasaran yang ditetapkan oleh negara masing-masing," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ka Siong berkata, Malaysia berhasrat menetapkan sasaran bagi peratusan penggunaan SAF pada 2050 tetapi nilai ambang perlu diwujudkan terlebih dahulu kerana negara sedang melihat pelbagai langkah untuk menjadikannya lebih menarik.

"... di sini jelas bahawa potensinya adalah besar dan tidak lama lagi, setiap syarikat penerbangan akan cuba menghubungi pengeluar SAF bagi mendapatkan bekalan dalam usaha memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh semua negara, jadi pasarannya adalah besar dan sebab itulah saya katakan bahawa kita perlu memiliki penyelesaian jangka panjang bagi Malaysia," katanya.

Bagaimanapun, Ka Siong berkata, berdasarkan satu kajian CORSIA, minyak sawit masih belum diiktiraf sebagai bahan mentah untuk menghasilkan SAF.

"Malaysia mempunyai beberapa varieti stok suapan dan biojisim yang mungkin boleh dipertimbang bagi bahan bakar drop-in SAF. Memandangkan SAF akan menjadi penyumbang utama kepada pengurangan CO2 (karbon dioksida) menjelang 2050 (sehingga 65 peratus menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA)) bagi penerbangan antarabangsa, adalah wajar lebih banyak tumpuan diberikan kepada inisiatif ini," katanya.

Beliau berkata, Malaysia melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di bawah National Aviation Industry Coordinating Organisation (NAICO) yang baru dibentuk telah menubuhkan pasukan khas bagi merealisasikan inisiatif SAF selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12.

Sementara itu, Firefly dan Neste Singapore dalam kenyataan bersama memaklumkan bahawa Firefly pada Selasa, memulakan operasi penerbangan pertamanya bagi penumpang antarabangsa menggunakan SAF melalui pesawat ATR 72-500 dari Lapangan Terbang Seletar ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah susulan kejayaan penerbangan domestik pertamanya yang berlepas dari Subang ke Pulau Pinang baru-baru ini. - Bernama