Hasrat duduki SPM tidak kesampaian

Mohammad Nor Aziz (dua kanan) bersama sekumpulan tiga guru dari SMK Seksyen 16 Shah Alam ketika melawat Nur Jannah di kediaman keluarga pelajar terbabit di Klang.
Mohammad Nor Aziz (dua kanan) bersama sekumpulan tiga guru dari SMK Seksyen 16 Shah Alam ketika melawat Nur Jannah di kediaman keluarga pelajar terbabit di Klang.
A
A
A

SHAH ALAM - Hasrat seorang pelajar untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini tidak kesampaian selepas disahkan lumpuh akibat kemalangan, April lalu.

Kejadian itu menyebabkan Nur Jannah Wan Zaki, 17, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 16 di sini hilang upaya dan tidak mampu untuk menguruskan diri serta perlu dibantu keluarga.

Keadaannya juga tidak banyak berubah walaupun selepas menjalani pembedahan tulang belakang dan hanya mampu untuk menggerakkan kepala serta tangan kanannya sahaja.

Penderitaan dan keperitan hidup anak pengawal keselamatan ini bagaimanapun sedikit terubat apabila mendapat perhatian Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) SMK Seksyen 16 Shah Alam.

Yang Dipertua PIBG, Mohammad Nor Aziz Taifor berkata, sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kejadian terbabit, pihaknya membantu meringankan beban keluarga Nur Jannah menerusi tabung PIBG dan sumbangan peribadi.

Menurutnya, pelajar itu dibenarkan pulang selepas beberapa bulan mendapatkan rawatan dan kini perlu berulang-alik ke hospital sebulan sekali untuk menjalani fisioterapi.

Pelajar ini adalah pelajar dalam kalangan keluarga B40 yang memerlukan bantuan kewangan untuk kos ubat-ubatan, lampin pakai buang serta kos pengangkutan ke hospital.

"Hari ini PIBG dan guru kelas Nur Jannah menyampaikan sumbangan wang ehsan dan kita juga akan mengusahakan untuk mendapatkan tangan robotik sebagai menyokong pergerakan tangannya," katanya.

Mohammad Nor Aziz berkata demikian selepas mengadakan lawatan bersama guru SMK Seksyen 16 Shah Alam ke rumah keluarga Nur Jannah di Taman Rashna di Klang pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, guru kelas Nur Jannah terdiri daripada Noor Banon Muji, Sobri Che Seman dan Nor Safiyah Ahmad Jaludin.

Dalam pada itu, orang ramai yang bersimpati boleh menyumbang kepada keluarga mangsa bagi meringankan beban mereka untuk penyediaan keperluan Nur Jannah.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bapa mangsa, Wan Zaki Wan Daud di akaun bernombor 169981001585.