Nurul Afiqah raih emas, rekod kebangsaan tidak diiktiraf

Nutul Afiqah (empat dari kanan) bergambar bersama kontinjen angkat berat Terengganu.
Nutul Afiqah (empat dari kanan) bergambar bersama kontinjen angkat berat Terengganu.
A
A
A

ATLET Terengganu, Nurul Afiqah Muhammad Zamzuri meraih pingat emas pertama dalam sukan angkat berat di Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022 apabila mengungguli acara wanita 45 kilogram (kg) akhir di Kompleks Kejiranan Presint 11, Putrajaya sebentar tadi.

Nurul Afiqah, 22, muncul juara kategori bawah selepas berjaya mengangkat 55kg bagi acara snatch dan 80kg bagi acara clean and jerk sekali gus memperbaiki rekod kebangsaan yang dilakukannya sebelum ini bagi disiplin tersebut.

Bagaimanapun, rekod kebangsaan yang dilakukannya tidak diiktiraf memandangkan acara tersebut tidak dianjurkan oleh Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM).

“Pingat emas ini sangat bermakna buat saya kerana sebelum ini saya meraih emas pada edisi 2018, namun ditarik balik.

“Malah pada edisi kali ini saya bukan sahaja dapat emas tapi berjaya pecah rekod kebangsaan milik saya sendiri dalam disiplin clean and jerk. Dulu 77 sekarang saya berjaya buat 80.

“Bagaimanapun, saya sedih kerana difahamkan rekod kebangsaan itu tidak dikira. Jadi saya harap mereka boleh iktiraf semula kerana saya sudah buat yang terbaik,” katanya.

Sebelum ini, Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat dalam satu kenyataan mengumumkan untuk menarik diri daripada mengendalikan sukan itu susulan tiga atlet dari dua negeri terbabit dengan isu doping

Insiden itu memaksa badan induk sukan angkat berat itu 'meninggalkan' Sukma dengan mengikut ketetapan seperti diluluskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan 2019 dan Mesyuarat Exco PABM, sebelum ini.

Ketetapan itu menyatakan sekiranya terdapat atlet ahli gabungan atau persatuan negeri yang positif doping, penyertaan atlet berkenaan dan atlet lain dalam ahli gabungan atau persatuan negeri yang ada di antara atletnya positif doping akan digantung dari Sukma 2022.

Artikel Berkaitan:


Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Suhardi Alias berkata, pihaknya akan berbincang dengan PABM bagi mengiktiraf rekod kebangsaan yang dicipta dalam sukan angkat berat.

“Mungkin ada perselisihan sikit dengan PABM. Bagaimanapun, kami akan berunding dengan mereka supaya rekod-rekod kebangsaan yang dicipta pada temasya kali ini diiktiraf.

“Ini kerana, mereka telah buat yang terbaik untuk pecahkan rekod itu dan perlu diberi penghargaan,” katanya.