Guru letak cecair peluntur dalam makanan murid

Ayana Hanzawa ditahan polis selepas mengaku memasukkan cecair peluntur ke dalam makanan tengah hari muridnya. - Agensi
Ayana Hanzawa ditahan polis selepas mengaku memasukkan cecair peluntur ke dalam makanan tengah hari muridnya. - Agensi
A
A
A

SAITAMA - Akibat kecewa ditukarkan mengajar ke kelas lain, seorang guru wanita di wilayah Saitama, Jepun hilang pertimbangan apabila sanggup meletakkan cecair peluntur dalam makanan tengah hari muridnya.

Lapor Kyodo News memetik kenyataan polis di Fujimi menyebut bahawa Ayana Hanzawa mengaku melakukan perbuatan itu sekitar jam 11.30 pagi (waktu tempatan) di Sekolah Rendah Mizutani-Higashi pada Khamis lalu.

Tambah laporan itu, beberapa murid menyedari bau aneh yang datang daripada hidangan kari mereka sebelum memaklumkan perkara tersebut kepada guru lain.

"Tiada murid yang menjamah kari tersebut dan ia telah dihantar ke makmal untuk analisis.

"Hasilnya mendapati hidangan itu mengandungi peluntur klorin," kata polis.

Difahamkan, Hanzawa mengajar di sekolah itu sejak 2020 dan kecewa apabila diarah menjadi guru kelas lain pada April lalu biar pun sebelum ini dia berkeras mahu kekal dengan kelas lamanya.

Menurut pegawai sekolah yang enggan namanya disiarkan, kari yang dicemari cecair peluntur itu bertujuan untuk dihidangkan kepada murid di kelas baharu guru wanita berusia 24 tahun tersebut. - Agensi

Artikel Berkaitan: