Pemandu lori maut tercampak

Anggota bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit pada penghadang jalan. - Foto ihsan Bomba Perak
Anggota bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit pada penghadang jalan. - Foto ihsan Bomba Perak
A
A
A

KUALA KANGSAR - Seorang lelaki maut selepas lori muatan kotak terpakai dipandunya terbabas di Kilometer 257 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran Terowong Menora di sini, pada Isnin.

Dalam kejadian sekitar jam 5.40 pagi itu, mangsa, Budi Abd Rahim, 52, tercampak keluar dari kenderaan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan di kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, kejadian berlaku selepas lori berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas sendiri.

Kenderaan terbabit turut melanggar besi penghadang di bahu kiri jalan.

"Mangsa dipercayai tercampak keluar menyebabkan kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.

Keadaan lori yang dipandu mangsa selepas terbabas di KM257, Lebuh Raya Utara-Selatan di Kuala Kangsar. - Foto ihsan Bomba Perak
Keadaan lori yang dipandu mangsa selepas terbabas di KM257, Lebuh Raya Utara-Selatan di Kuala Kangsar. - Foto ihsan Bomba Perak

"Kenderaan terlibat ditahan untuk pemeriksaan manakala waris dan majikan mangsa telah dikesan.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar bergegas ke lokasi kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa.

"Operasi yang turut dibantu anggota dari BBP Meru Raya itu bertindak menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit antara penghadang jalan.

"Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan pada jam 7.38 pagi," katanya di sini.

Twitter @plustrafik mengemaskini setakat jam 9 pagi memaklumkan, kerja-kerja pengalihan kemalangan sedang dijalankan dengan laluan kontra masih dibuka dan lorong kiri masih ditutup.

Trafik arah utara bergerak perlahan di lokasi manakala trafik arah selatan masih terkawal.