PRU15: Tiada bincang tarikh dengan Bersatu

Ahmad Faizal mencuba aktiviti sumpit di Fiesta Sukan Jom Kome 2022 di Kampung Orang Asli Chadak, Hulu Kinta.
Ahmad Faizal mencuba aktiviti sumpit di Fiesta Sukan Jom Kome 2022 di Kampung Orang Asli Chadak, Hulu Kinta.
A
A
A

TAMBUN - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob belum mengadakan sebarang perbincangan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung tarikh pembubaran Parlimen bagi mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara itu tidak perlu dipersoalkan berikutan tempoh lima tahun semakin hampir dan Perikatan Nasional (PN) sentiasa bersedia menghadapi pilihan raya akan datang.

"Setakat ini tiada perbincangan tapi semua orang tahu pilihan raya semakin dekat. Tidak perlu tanya PM kerana tempoh lima tahun itu hampir matang, sudah tidak lama lagi dari sekarang.

"Kami di PN telah bersedia, kami menjalin hubungan baik dalam kalangan parti komponen dan sudah bersedia menghadapi PRU15 akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Fiesta Sukan Jom Kome 2022 di Kampung Orang Asli Chadak, Hulu Kinta di sini pada Ahad.

Media melaporkan Ismail Sabri seperti memberi bayangan PRU15 akan diadakan dalam masa terdekat dan beliau akan bertemu 'Top Five UMNO' bagi membincangkan tarikh PRU15.

Pada masa sama, Ahmad Faizal enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada beliau mahu mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderiang pada PRU15 nanti.

Beliau sebaliknya mahu terus memberi fokus perkhidmatan kepada rakyat di kawasan Chenderiang dan Parlimen Tambun.

Artikel Berkaitan:

"Saya adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang dan Ahli Parlimen Tambun.

"Kita fokus untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat terlebih dahulu, cerita pilihan raya ini cerita kemudian," katanya.