Satu penghormatan dapat wakili negara: Declan Lambert

Lambert tekad memberikan yang terbaik sekiranya diberi peluang mewakili skuad Harimau Malaya. - Foto Facebook FAM
Lambert tekad memberikan yang terbaik sekiranya diberi peluang mewakili skuad Harimau Malaya. - Foto Facebook FAM
A
A
A

PEMAIN Kuala Lumpur (KL) City FC, Declan Lambert mahu belajar sesuatu apabila menyertai latihan bersama skuad Harimau Malaya.

Beliau berkata, panggilan bersama pasukan kebangsaan adalah satu penghormatan buat dirinya dan tekad untuk membanggakan rakyat Malaysia.

"Saya di sini untuk belajar dan harap selepas ini dapat panggilan seterusnya," ujarnya.

Skuad Harimau Malaya dalam persiapan untuk menghadapi Piala Raja Thailand edisi ke-48 berdepan tuan rumah di Stadium Chiang Mai pada 22 September ini.

Lambert berkata, dia akan menggunakan peluang kali pertama itu untuk menarik perhatian Ketua Jurulatih, Kim Pan-gon.

"Sukar untuk katakan tidak kepada panggilan kebangsaan dan saya akan buat yang terbaik sekiranya diberi peluang," katanya.

Lambert lahir di Kuala Lumpur dengan ibunya merupakan rakyat Malaysia, manakala bapanya pula berasal dari England.

Mengulas mengenai posisinya dalam skuad kebangsaan beliau berkata, jurulatih ada memberitahu bahawa posisinya di barisan pertahanan, tetapi belum pasti sama ada di bahagian kiri atau kanan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun dia berkata lebih selesa bermain di bahagian pertahanan kanan, namun bersedia diturunkan di mana-mana posisi.

"Saya lebih gemar bermain di sebelah kanan kerana kaki dominan kanan, tetapi mana-mana posisi sama ada kiri, kanan atau tengah saya boleh bermain sekiranya jurulatih mahukan.

"Saya rasa semua posisi ada saingan yang sengit dan mempunyai ramai pemain bagus. Jadi saya akan lakukan yang terbaik," katanya.

Dalam pada itu Lambert berkata, panggilan skuad kebangsaan tidak menjejaskan persediaannya untuk bersama KL City FC dalam saingan AFC.

Katanya, selepas kejohanan itu yang berakhir pada 25 September, dia mempunyai masa yang cukup untuk berehat sebelum menyertai kelab.