Penunggang berang SUV berhenti di lorong kecemasan

Tangkap layar video memaparkan penunggang motosikal memarahi pemandu Mazda CX-5 yang berhenti di lorong kecemasan di Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Sungkai pada Jumaat. - Foto Ihsan pembaca
Tangkap layar video memaparkan penunggang motosikal memarahi pemandu Mazda CX-5 yang berhenti di lorong kecemasan di Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Sungkai pada Jumaat. - Foto Ihsan pembaca
A
A
A

TANJUNG MALIM - Tindakan sebuah kereta berhenti di lorong kecemasan menyebabkan kemalangan melibatkan tiga motosikal di Kilometer 370, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran Sungkai pada Jumaat.

Insiden itu menyebabkan kumpulan penunggang motosikal terbabit berasa berang dan bertindak memarahi pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Mazda CX-5 hingga video kejadian itu tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, laporan kejadian itu diterima dan siasatan mendapati lelaki berusia 34 tahun itu bertindak demikian kerana isterinya yang sarat mengandung mahu muntah.

"Ketika mahu bergerak semula terdapat sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard telah memasuki lorong kecemasan menyebabkan dia terperanjat lalu brek secara mengejut.

"Pada masa sama, sebuah motosikal jenis Yamaha 15ZR sempat brek namun dilanggar motosikal jenis Honda RS150R dan terlanggar SUV berkenaan.

"Penunggang Benelli RFS150 pula dari arah belakang turut melanggar motosikal Honda terbabit," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Menurutnya, kesemua penunggang motosikal yang mengalami kecederaan ringan telah menerima rawatan.

"Keempat-empat kenderaan terbabit mengalami kerosakan kecil.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan lanjut diteruskan mengikut Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Peraturan 10 LN 166/59)," katanya.

Beliau menasihatkan pengguna jalan raya berhati-hati dan lebih bertimbang rasa dengan pengguna jalan raya lain.