Warisan belum putuskan tanding Parlimen mana di Kedah

Mohd Shafie (tengah) bersama sebahagian kepimpinan Warisan Kedah pada Majlis Pelancaran Parti Warisan Negeri Kedah di D'Kelompang, Jalan Alor Mengkudu pada Sabtu.
Mohd Shafie (tengah) bersama sebahagian kepimpinan Warisan Kedah pada Majlis Pelancaran Parti Warisan Negeri Kedah di D'Kelompang, Jalan Alor Mengkudu pada Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR – Parti Warisan (Warisan) belum memutuskan mengenai jumlah kerusi dan calon yang akan bertanding di Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, Warisan bagaimanapun tidak berhasrat meletakkan calon di kesemua 13 kawasan Parlimen di negeri itu.

Beliau memberitahu, pihaknya akan meneliti secara mendalam termasuklah kawasan-kawasan penting kepada Warisan.

“Kita akan selektif dalam meletakkan calon di kawasan bersesuaian. Sebagai contohnya, Johor kita cuma letak tiga sahaja dan kita hendak mantapkannya.

“Di sini (Kedah), ada 13 kawasan Parlimen yang tidak semua kawasan kita akan bertanding. Setakat ini, kita belum putuskan dan akan umumkan nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Parti Warisan Kedah di D’Kelompang, Jalan Alor Mengkudu di sini pada Sabtu.

Beliau menjelaskan, Warisan tidak akan bertanding di semua kawasan di Kedah kerana menyedari kekuatan dan keupayaan parti itu.

“Kita kena ukur, yang penting kejayaan seperti yang saya nyatakan. Sekiranya hendak letak 13 (calon di Kedah) kalau kosong tiada ada ertinya.

Artikel Berkaitan:

“Namun, sekiranya letak dua, tiga kita menang, maka alhamdulillah 100 peratus pencapaian,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shafie berkata, Warisan belum berhasrat untuk menyertai mana-mana gabungan parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Warisan bincang dengan rakyat, bergabung dengan rakyat. Setakat ini, kita nak pastikan rumah kita yang tangga dia kena culik, yang tingkap dia kena beli, jadi kita kena mantapkan parti rumah kita dahulu,” katanya.

Ketika disoal sama ada menerima ajakan daripada mana-mana pihak seperti Gerakan Tanah Air (GTA), Pakatan Harapan (PH) ataupun Perikatan Nasional (PN), beliau mengakui ramai yang telah berhubung dengannya.

“Bagaimanapun, saya maklumkan yang kita hendak pastikan baiki rumah kita dahulu. Pasal saya ini sudah banyak pengalaman bergabung sangat, macam-macam sudah. Kita sudah melalui pelbagai kerjasama yang ada.

“Yang penting kepada kita kekuatan parti itu perlu kita tetapkan. Tidak ada ertinya kita bergabung tetapi tidak ada kemantapan,” katanya.

Tambahnya, Warisan tidak mahu menumpang kepada mana-mana parti seakan-akan parti itu hendak mengemis.