Maritim Malaysia perlukan pertambahan anggota

Saiful Lizan (kiri) menyampaikan anugerah terbaik keseluruhan kepada Laskar Kelas II Maritim Abdullah Mohd Nazri ketika menyempurnakan perbarisan tamat latihan Laskar Kelas II Maritim Siri 16/2021 Maritim Malaysia di Padang Kawat Pusat Latihan dan Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (Amsas) di Gebeng, pada Sabtu.
Saiful Lizan (kiri) menyampaikan anugerah terbaik keseluruhan kepada Laskar Kelas II Maritim Abdullah Mohd Nazri ketika menyempurnakan perbarisan tamat latihan Laskar Kelas II Maritim Siri 16/2021 Maritim Malaysia di Padang Kawat Pusat Latihan dan Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (Amsas) di Gebeng, pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) meminta pertambahan perjawatan seramai 4,000 lagi anggota selaras dengan aset baharu yang diterima.

Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, permohonan pertambahan perjawatan terbabit sudah dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Perkara ini (pertambahan jawatan) sudah dalam perhatian JPA, namun dirasakan agak sukar untuk mereka (JPA) memberi penambahan sumber manusia (anggota).

"Bukan hanya Maritim Malaysia yang perlu pertambahan sumber manusia, tetapi agensi lain. Kami memahami memandangkan ia melibatkan sumber kewangan yang banyak," katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan perbarisan tamat latihan Laskar Kelas II Maritim Siri 16/2021 Maritim Malaysia di Padang Kawat Pusat Latihan dan Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (Amsas) di Gebeng, pada Sabtu.

Seramai 179 pelatih terdiri daripada 158 lelaki dan 20 wanita berjaya menjalani latihan di Amsas selama sembilan bulan bermula 7 Disember tahun lalu.

Menurut Saiful Lizan, pertambahan keanggotaan itu antara perancangan di bawah Pelan Strategik Maritim Malaysia 2040 (MMST 2040) bagi memastikan agensi terbabit mempunyai sumber manusia mencukupi.

Menurutnya, setakat ini Maritim Malaysia mempunyai keanggotaan seramai 5,303 orang manakala 490 kekosongan lagi akan diisi menjelang 2026.

"Kita menyasarkan memiliki sekurang-kurangnya 9,000 sumber manusia (anggota) menjelang 2040 untuk menjadikan Maritim Malaysia sebagai satu agensi optimum boleh melakukan pengoperasian secara lebih praktikal dan efisien.

Artikel Berkaitan:

"Jumlah sumber manusia seramai itu boleh memberi pengisian setiap aset sedia ada mahupun aset baharu yang akan diterima. Pada masa sama kami mempunyai perancangan penambahan aset dari segi kapal, kapal terbang dan sebagainya," kata beliau.

Menjawab mengenai status ancaman pencerobohan nelayan asing di Laut China Selatan, Saiful Lizan tidak menafikan pencerobohan di sebelah Pantai Timur Laut China Selatan masih berlaku dan tindakan penguatkuasaan sentiasa dilakukan oleh Maritim Malaysia.

"Bagaimanapun ia dalam keadaan terkawal," katanya.