PH hampir selesai agih kerusi Bersatu

PH sudah 70 peratus memuktamadkan soal pengagihan kerusi. - Gambar hiasan
PH sudah 70 peratus memuktamadkan soal pengagihan kerusi. - Gambar hiasan
A
A
A

SEREMBAN - Pakatan Harapan (PH) sudah 70 peratus memuktamadkan soal pengagihan 52 kerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kepada semua parti dalam gabungan itu.

Naib Presiden PH, Datuk Salahuddin Ayub berkata, ada parti yang akan dapat lebih banyak kerusi selepas mengambil kira pelbagai faktor antaranya kekuatan parti.

"Kita sudah buat tiga pusingan mesyuarat dan saya boleh sebut ia berjalan dengan baik yang mana hampir 70 peratus daripada kerusi itu telah selesai diagihkan dan menjelang 30 September ini akan selesai semuanya.

"Ia bukan diberi sama rata. Ada yang akan dapat lebih. Contohnya di Johor, di mana Parti Keadilan Rakyat (PKR) menang tujuh kerusi, enam DAP dan satu Amanah. Dari situ kita akan buat pertimbangan," katanya ketika sidang akhbar selepas hadir pada Konvensyen Amanah 2022 di sebuah hotel di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan PH menyasarkan untuk menyelesaikan isu rundingan kerusi termasuk kerusi ditandingi Bersatu sebelum ini menjelang 30 September ini.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, setakat ini, rundingan pembahagian kerusi di antara PKR, DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) telahpun selesai dan dimuktamadkan di enam negeri.

Artikel Berkaitan: