[VIDEO] Didik anak-anak dari awal tentang bahaya anal seks

Dr Rafidah Hanim
Dr Rafidah Hanim
A
A
A

SHAH ALAM - Ibu bapa perlu menerapkan pemahaman kepada anak-anak sejak awal lagi tentang bahayanya amalan seks melalui dubur terhadap impak kesihatan.

Profesor Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Dr Rafidah Hanim Mokhtar berkata, daripada sudut perubatan, hubungan seks melalui dubur atau seks songsang yang menjadi amalan golongan gay sememangnya terbukti berisiko tinggi untuk jangkitan virus HIV.

“Dalam kaedah pencegahan ada yang mengatakan seks selamat dengan kondom. Tapi saya lebih suka sebenarnya didik anak-anak kita bahawa anal seks atau liwat atau seks melalui dubur itu amat merbahaya kerana dubur itu bukan diciptakan untuk menerima benda yang keras seperti zakar.

“Sebab lapisan epitelium dubur kita ini selapis. Ia juga kaya dengan salur darah dan mudah tercedera. Itu yang perlu diberitahu kepada anak-anak daripada awal.

“Kena beritahu, jangan buat benda ini...kenapa dalam Islam tidak dibenarkan seks melalui dubur. Bukan sahaja lelaki dengan lelaki, pasangan suami isteri yang sah juga tidak boleh liwat kerana implikasi perubatan,” katanya ketika menjadi panelis Program Disebalik Isu Bersama FY yang dikendalikan oleh Finaz Yunus, disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian pada Jumaat.

Program yang membincangkan topik bertajuk HIV, Gay & Melayu itu turut menampilkan Pakar Perubatan Keluarga, Dr Sakinah Sulong sebagai panelis dan pesakit HIV gay, dikenali sebagai Hakim Azman sebagai jemputan khas.

Artikel Berkaitan:

Finaz (kiri), Dr Sakinah (tengah) dan Dr Rafidah Hanim ketika Program Disebalik Isu Bersama FY yang disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian pada Jumaat.
Finaz (kiri), Dr Sakinah (tengah) dan Dr Rafidah Hanim ketika Program Disebalik Isu Bersama FY yang disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian pada Jumaat.

Dalam pada itu, Rafidah berkata, faktor sekolah asrama sejenis yang sering dikaitkan dengan amalan songsang seawal remaja kini dilihat setara dengan risiko budaya yang boleh berlaku di sekolah-sekolah biasa.

Ujarnya, kewujudan budaya seks songsang boleh berlaku sekiranya tiada kawalan yang sewajarnya.

“Untuk memberitahu mesej kepada remaja dan anak-anak, ia perlu jelas. Kita perlu kurangkan kes-kes baharu HIV, kurangkan HIV dalam kalangan anak muda.

“Masalah (seks songsang) ini adalah masalah pengurusan nafsu dan ia memerlukan motivasi yang amat kuat daripada sudut agama, sosial dan sudut ilmu perubatan.

“Perlu faham jika perkara ini (amalan seks songsang) terus dilakukan kita akan berdepan dengan kadar orang muda yang hidup dengan HIV positif, bergantung kepada Ubat Antiretroviral (HAART) sepanjang hayat..adakah kita ingin menuju ke arah itu?,”katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai isu ‘ustaz songsang’ yang menjadikan pelajar sendiri sebagai mangsa, beliau berkata, ia adalah berkait dengan trauma silam yang gagal dirawat sehingga memangsakan orang lain yang menjadi punca terjadinya kitaran budaya songsang.

“Perkara ini perlu dihentikan. Institusi tahfiz, sekolah-sekolah agama...pengurusan, perlu ada satu bentuk mekanisme tapisan, kawalan, pantauan yang lebih ketat,” jelas beliau.

Rafidah juga berpandangan, negara berdepan masalah dalam menguatkuasakan undang-undang untuk mengawal normalisasi dan promosi gaya hidup songsang golongan terlibat.

Kementerian Kesihatan (KKM) juga disaran mengambil pendekatan kempen yang lebih mudah difahami masyarakat dengan menggunakan laras bahasa lebih mudah berbanding terma digunakan dalam bidang perubatan.



Sukar elak seks songsang walaupun disahkan HIV

SHAH ALAM - Keinginan untuk melakukan seks songsang masih wujud meskipun telah disahkan menghidap HIV positif sejak lapan tahun lalu.

Pengakuan itu dibuat seorang pesakit HIV homoseksual (gay), dikenali sebagai Hakim Azman, 29, yang sukar meninggalkan gaya hidup yang sudah diamalkan sejak dibangku sekolah.

Menurut Hakim, masih ramai golongan gay yang disahkan menghidap HIV masih mengamalkan seks songsang.

Hakim pada masa sama mengakui sedar risiko yang dia perlu hadapi sepanjang mengamalkan seks songsang dan sudah dapat mengagak ketika disahkan dijangkiti HIV.

“Mungkin ia berpunca seks bebas yang saya amalkan sejak pengajian diploma. Namun sehingga kini keluarga saya tidak tahu saya ada HIV. Mungkin satu hari saya akan beritahu,” katanya.

Mengulas tindakan golongan gay yang kini dilihat sangat terbuka termasuk berbangga sebagai pengamal homoseksual, Hakim berkata dia sendiri tidak bersetuju dengan tindakan tersebut.

“Perkara ini sudah terlalu terdedah di media sosial mungkin disebabkan tiada pengetahuan dan juga disebabkan nafsu. Tapi tak semua orang mahu jadi gay dan dapat HIV.

“Pendidikan kepada masyarakat tu penting kerana LGBT sukar dielak kerana ia bukan hanya barah di Malaysia tapi seluruh dunia,” katanya.