Sambutan Hari Malaysia diadakan bergilir setiap negeri

Kabinet setuju sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan diadakan secara bergilir di semua negeri. - Foto Bernama
Kabinet setuju sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan diadakan secara bergilir di semua negeri. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Kabinet bersetuju sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan diadakan secara bergilir di setiap negeri, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, langkah itu bagi memberi peluang kepada semua Keluarga Malaysia dapat meraikan sambutan bersejarah itu di negeri masing-masing dan bagi edisi kali ini, Melaka dipilih sebagai tuan rumah.

Annuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 berkata sambutan kali ini berbeza kerana buat pertama kali diadakan di Semenanjung kerana seperti kelaziman Hari Malaysia diadakan di Sabah dan Sarawak secara bergilir-gilir.

"Langkah ini diambil kerana kita mahu semua rakyat dapat meraikan sambutan ini dengan meriah di negeri masing-masing atas semangat Keluarga Malaysia selain sama memahami makna tarikh keramat 16 September.

"Kita bersyukur sambutan ini dapat disambut dengan penuh meriah selepas dua tahun dibelenggu penularan Covid-19... Pastinya sambutan di Melaka ini akan menjadi kenangan terindah dan sejarah tersendiri di negeri penuh bersejarah,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi video ucapan yang disiarkan pada sambutan Hari Malaysia 2022 di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir di sini malam Jumaat.

Annuar berharap sambutan Hari Malaysia yang bertemakan Keluarga Malaysia Teguh Bersama dapat dihayati segenap ahli Keluarga Malaysia dan hidup aman damai serta bersatu padu dalam keterangkuman, kebersamaan serta penuh kesyukuran.

Beliau berkata, konsep tersebut dalam resepi kekuatan dan kesepaduan yang dianjurkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menjamin kemakmuran Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Sambutan Hari Malaysia 2022 buat julung kali diadakan di Semenanjung dengan Melaka menjadi tuan rumah acara gilang-gemilang itu. - Bernama