Jia Xin lakar kejayaan berganda

Jia Xin beraksi dalam acara lompat tinggi wanita akhir pada Sukma MSN 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat. - Foto Bernama
Jia Xin beraksi dalam acara lompat tinggi wanita akhir pada Sukma MSN 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

ATLET lompat tinggi Perak, Ngu Jia Xin bukan sahaja menghadapi cabaran untuk mencatat lompatan terbaik di Sukma MSN 2022 tetapi terpaksa mengurangkan berat badannya sebanyak 5 kilogram (kg) dalam tempoh dua minggu.

Dalam usahanya untuk mencapai berat badan 55kg daripada 60kg sebelum Sukma, atlet berusia 22 tahun itu hanya mengambil sarapan pagi sepanjang tempoh tersebut.

Bagaimanapun, pengorbanannya berbaloi selepas beliau berjaya mempertahankan pingat emas Sukma dalam acara lompat tinggi wanita, selepas melakukan lompatan 1.70 meter (m) di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini, 0.09m kurang daripada catatan terbaiknya.

Atlet kelahiran Pantai Remis itu memberitahu pemberita bahawa dia telah belajar daripada pengalaman ketika bertanding di Sukan SEA Hanoi 2021, apabila hanya menduduki tempat kelima dengan lompatan 1.65m dan berjanji untuk tidak mengulangi kesilapan sama.

"Sebelum Sukma, berat saya sebelum ini lebih 60kg, jadi jurulatih saya (Aleksandr Gasparyan) arahkan saya untuk turun ke 55kg.

"Selepas ini, saya akan elakkan dari makan terlalu banyak malah tidak akan meraikan kejayaan ini, saya mahu kekalkan berat badan saya. Mungkin saya akan makan satu atau dua kuih tart tetapi tidak akan makan dengan banyak," katanya selepas majlis penyampaian pingat.

Jia Xin pada mulanya mahu mengatasi rekod Sukma 1.75m yang dicatatkan Norliyana Kamaruddin dari Negeri Sembilan pada temasya di Melaka 2010 bagaimanapun catatan edisi kali ini tidak akan dikira sebagai catatan rasmi. - Bernama

Artikel Berkaitan: