Sambutan Hari Malaysia di empat negeri

Para peserta program Keretapi Sarong 2022 bersemangat menyanyikan lagu Jalur Gemilang ketika berkumpul di hadapan Pavilion Bukit Bintang pada Jumaat. - Foto Bernama
Para peserta program Keretapi Sarong 2022 bersemangat menyanyikan lagu Jalur Gemilang ketika berkumpul di hadapan Pavilion Bukit Bintang pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Selain Melaka yang menjadi lokasi bagi Sambutan Hari Malaysia 2022 peringkat kebangsaan, Pahang, Sarawak, Pulau Pinang dan Perak turut tidak ketinggalan menganjurkan pelbagai acara bagi memperingati pembentukan Malaysia pada 16 September itu.

Di PAHANG, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penganjuran sambutan Hari Malaysia peringkat negeri itu dibuat setiap tahun sebagai mengenang kembali detik bersejarah berkenaan selain memperingati pengorbanan mereka yang berjuang demi kedaulatan negara.

"Sejarah perlu sentiasa diperingatkan untuk menjauhi anasir buruk yang cuba melaga-lagakan rakyat... pendidikan sejarah dapat membentuk jati diri dan menyemai semangat menghargai nikmat yang dirasai sejak pembentukan Malaysia.

"Ini juga membolehkan kita sedar kesan buruk yang boleh berlaku jika bersengketa antara satu sama lain. Seharusnya kita hidup bertoleransi dalam suasana harmoni serta menjauhi sikap suka mempersendakan, menghina atau mencari kesalahan yang hanya akan merosakkan perpaduan rakyat," katanya.

Wan Rosdy berkata demikian semasa berucap merasmikan Sambutan Hari Malaysia 2022 Peringkat Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Rompin hari ini, yang turut dihadiri barisan pentadbiran kerajaan negeri.

Di SARAWAK, lebih 700 orang menyertai Program Berbasikal Kayuhan Perpaduan sejauh 20 kilometer yang diadakan bagi memeriahkan sambutan Hari Malaysia peringkat negeri itu di tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu dan disempurnakan Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Sarawak, Datuk Henry Harry Jinep bermula 7.30 pagi tadi (Jumaat).

Di PULAU PINANG, majlis sambutan Hari Malaysia peringkat negeri diadakan secara sederhana tetapi meriah di Pusat Perdagangan dan Pameran Vervea (VTEC) Batu Kawan.

Sambutan itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak bersama isteri Toh Puan Khadijah Mohd Nor, Ketua Menter,i Chow Kon Yeow dan barisan Exco kerajaan negeri, yang dimulakan dengan nyanyian Negaraku dan menaikkan Jalur Gemilang serta persembahan kebudayaan.

Artikel Berkaitan:

Chow dalam perutusannya berkata, kerajaan negeri sentiasa berusaha meningkatkan semangat toleransi dan kerjasama antara rakyat yang berbilang agama, bangsa serta budaya, dan pencapaian yang diperoleh selama ini adalah hasil keharmonian serta semangat kekitaan yang dipupuk dalam sanubari rakyat.

"Pendekatan untuk meningkatkan perpaduan terus disemai dan menjadi tanggungjawab kita untuk mengekalkannya demi memelihara keharmonian dan kemaslahatan seluruh warga Malaysia yang tercinta ini," katanya.

Seramai 20 ahli Persatuan Basikal Karat Pulau Pinang mengambil bahagian dalam kayuhan Hari Malaysia yang dianjurkan oleh persatuan itu sempena sambutan Hari Malaysia 2022 pada Jumaat. - Foto Bernama
Seramai 20 ahli Persatuan Basikal Karat Pulau Pinang mengambil bahagian dalam kayuhan Hari Malaysia yang dianjurkan oleh persatuan itu sempena sambutan Hari Malaysia 2022 pada Jumaat. - Foto Bernama

Di PERAK, sebanyak 110 sampan nelayan terlibat dalam perarakan di Perairan Kelubong ke Sungai Kerang dan di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sungai Kerang bagi meraikan Sambutan Hari Malaysia Peringkat Parlimen Bukit Gantang.

Perarakan sejauh 10 kilometer bermula seawal 8 pagi di Jeti Sungai Kerang itu, turut disertai Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang juga pengerusi LKIM.

Sementara itu di Ipoh, suasana klasik dan retro dapat dirasai apabila Ipoh Social Club dan Locco mengumpulkan rakyat Malaysia bagi Program Keretapi Sarong 2022 sempena sambutan Hari Malaysia di Stesen Keretapi Tanah Melayu Ipoh pada 8.30 pagi Jumaat.

Lebih 200 orang awam yang mengenakan pakaian klasik bertema sarong dan retro 60-an hingga 90-an menyertai acara tersebut, sebelum mereka berjalan kaki beramai-ramai dan menyumbangkan makanan untuk gelandangan di sekitar bandar raya itu.

Di KELANTAN, seramai 150 belia hari ini menyertai konvoi motosikal Kembara Anak Merdeka anjuran Pusat Khidmat Ahli Parlimen Ketereh bermula dari Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Kota Bharu ke Tok Bali, Pasir Puteh dalam usaha menyemarakkan semangat Hari Malaysia.

Ketua Pemuda UMNO Ketereh, Saipudin Mohamad berkata, konvoi tersebut juga bertujuan menunjukkan kebersamaan belia dalam memperingati hari penting itu.

Dalam pada itu, Filem epik Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan arahan Syamsul Yusof yang mula ditayangkan hari ini di platform penstriman dalam talian, Netflix, sempena Hari Malaysia turut mendapat sambutan apabila ramai yang menzahirkan rasa teruja di Twitter kerana kini boleh menonton filem itu di televisyen.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan turut membuat ciapan di Twitter dengan berkata: "#MatKilau Di #Netflix Wow. Filem terhebat dekad ini. Tak perlu ke panggung. Jom tonton. Sekali lagi.” - Bernama