Pengakhiran indah buat Andre

Andre merekod lompatan sejauh 7.40m untuk menghadiahkan emas buat Sabah. - Foto Bernama
Andre merekod lompatan sejauh 7.40m untuk menghadiahkan emas buat Sabah. - Foto Bernama
A
A
A

IMPIAN atlet Sabah, Andre Anura Anuar untuk meraih pingat emas dalam tiga edisi Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022 akhirnya terlerai setelah mengungguli acara lompat jauh, pada Jumaat.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, Andre merekod lompatan sejauh 7.40 meter (m) untuk menghadiahkan emas buat kontinjen negeri di Bawah Bayu itu.

Bagaimanapun, catatan itu tidak sebaik rekod kebangsaan dilakar olehnya pada Sukan SEA 2019 di Filipina menerusi catatan 8.02m.

Andre berkata, kemenangan itu menyaksikan dia berjaya menamatkan penantian dalam tiga edisi Sukma untuk menggondol pingat emas dalam acara tersebut selain menjadi penutup terbaik bagi temasya berkenaan.

"Ini adalah emas pertama untuk acara lompat jauh. Pada edisi 2018, saya sekadar berpuas hati membawa pulang pingat perak," katanya.

Dalam acara itu, atlet Terengganu, Muhammad Shahrizal Nasharuddin Isham meraih pingat perak dengan catatan 7.25m, manakala pingat gangsa dimenangi seorang lagi atlet dari Sabah, Muhammad Sunik Muslimin (7.24m).

Menurut Andre, penyertaan pada Sukma kali ini adalah yang terakhir dan ingin menikmati acara lompat jauh sebelum menumpukan fokus kepada lompat kijang.

"Tumpuan lebih terarah kepada lompat kijang kerana saya memenangi pingat emas dalam acara itu di Sukan SEA.

Artikel Berkaitan:

"Ini juga menjadi penutup terbaik bagi karier saya dalam Sukma kerana ini adalah penyertaan terakhir buat saya," katanya.